Bicara kes SRC Najib bermula 3 April ini

Najib Razak
Najib Razak
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbicaraan kes bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung tujuh dakwaan berkaitan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta, akan bermula di Mahkamah Tinggi di sini, 3 April ini.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan tarikh bicara sehari itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Suhaimi Ibrahim memohon perbicaraan diadakan pada hari tersebut.

Bagaimanapun, tarikh perbicaraan selanjutnya hanya akan ditetapkan kemudian.

Ia susulan keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan Najib menangguhkan perbicaraan kes tersebut.

Terdahulu, Suhaimi memberitahu mahkamah bahawa pihaknya telah bersedia untuk memulakan perbicaraan dan telah menyerahkan dokumen berkaitan kes dan kenyataan saksi sebulan lalu.

"Kami mohon perbicaraan diadakan pada 3 April ini,” katanya. Sebelum itu, Mohd Nazlan mencadangkan Isnin ini untuk memulakan perbicaraan tetapi Suhaimi berkata pihak pendakwaan memerlukan masa untuk menyediakan sepina kepada saksi.

Beliau ​​​​​​​juga memaklumkan pihak pendakwaan sedang menimbangkan untuk memohon kepada Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim supaya memberi keutamaan kepada perbicaraan kes ini berbanding kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam Harvinderjit Singh, yang mewakili Najiib, 66, pula memohon tarikh perbicaraan itu dijalankan antara Mei hingga Ogos memandangkan pihak pembelaan mempunyai beberapa kes sepanjang bulan depan. Perbicaraan kes itu pada awalnya dijadual bermula 12 Feb hingga 28 Februari lalu dan 4 hingga 29 Mac ini.

Artikel Berkaitan:

Pada 4 Julai 2018, Najib, yang juga Ahli Parlimen Pekan, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta, dan pada 8 Ogos 2018, Najib didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama daripada dana serupa. Sementara itu, di Mahkamah Tinggi di sini, Najib, yang memakai sut biru, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan pindaan kes rasuah 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.

"Faham, mengaku tidak bersalah," kata Najib selepas ketiga-tiga pertuduhan itu dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah.

Terdahulu, Ketua Pasukan Pendakwaan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya telah meminda struktur ayat bagi pertuduhan kedua dan ketiga serta menambah fakta bagi pertuduhan keempat berhubung pertuduhan dihadapi Najib yang didakwa menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan suapan.

Mahkamah menetapkan Isnin ini untuk pengurusan kes.

Najib menghadapi empat pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di AmIslamic Bank Berhad, No. 55, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon antara 2011 dan 2014. -Bernama