KPM cadang perluas program sekolah tanpa tunai

Dr Maszlee Malik (tengah) menyampaikan hadiah kepada pemenang Anugerah Simpanan Skim Galakan Simpanan Pelajar (SGSP) Huda Abdullah pada Majlis Anugerah SGSP 2019 hari ini. -Foto Bernama
Dr Maszlee Malik (tengah) menyampaikan hadiah kepada pemenang Anugerah Simpanan Skim Galakan Simpanan Pelajar (SGSP) Huda Abdullah pada Majlis Anugerah SGSP 2019 hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merancang memperluaskan program sekolah tanpa tunai, kata Menterinya Dr Maszlee Malik.

Menurut Maszlee, ketika ini terdapat sekolah yang pergi ke arah tanpa tunai contohnya Sekolah Kebangsaan Bukit Lanjan (Asli), Damansara dan beliau mahu konsep itu dikembangkan ke sekolah lain.

Bagi tujuan itu, katanya kementerian akan bekerjasama dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) dan projek perintis usaha sama itu akan diadakan di beberapa sekolah terpilih.

"Kita akan meneliti perkara ini sebelum menetapkan apa-apa tempoh masa (bagi projek perintis),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Skim Galakan Simpanan Pelajar (SGSP) 2019 di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Eksekutif BSN Datuk Yunos Abd Ghani.

Sekolah tanpa tunai merupakan konsep yang mana setiap transaksi pembayaran seperti membeli makanan atau buku akan direkodkan menggunakan kad debit yang dikeluarkan sekolah atau bank. Maszlee ketika berucap sebelum itu berkata menerusi sekolah tanpa tunai, murid dan pelajar juga bebas daripada risiko kehilangan atau kecurian wang.

"Mungkin pada suatu masa nanti, teknologi membayar hanya menerusi pengesanan Kod Maklum Balas Pantas (Kod QR) sahaja. Kita juga boleh kembangkan teknologi menggunakan pembayaran pengecaman wajah.

Oleh itu, BSN perlu bersedia ke arah itu yang akan diteliti kementerian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Yunos berkata SGSP telah menerima penyertaan 8,073 buah sekolah atau 79 peratus daripada 10,180 sekolah seluruh negara dengan jumlah baki simpanan para pelajar melebihi RM410 juta.

SGSP merupakan pertandingan skim simpanan yang diadakan secara tahunan di mana penyertaannya terbuka kepada para pelajar sama ada di peringkat sekolah rendah dan menengah serta pihak sekolah.

Pemenang pertandingan ditentukan berdasarkan peningkatan bersih jumlah simpanan, kekerapan simpanan dan juga purata simpanan sekolah sepanjang tahun.

Pada majlis itu, 206 pemenang telah menerima ganjaran berjumlah RM295,900. -Bernama