X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 28 Jun 2022

Transformasi digital: Pelbagai usaha bolehkan rakyat beza berita palsu

Annuar Musa
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan telah melaksanakan pelbagai usaha yang membolehkan rakyat Malaysia membezakan maklumat palsu dan berita palsu serta mengesahkan sebarang maklumat yang mereka temui, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) Tan Sri Annuar Musa.

"Kewujudan berita palsu dalam medium komunikasi akan menyekat masyarakat daripada berkomunikasi dan mengurangkan keupayaan komuniti untuk terlibat dalam wacana produktif.

"SEBENARNYA.MY ditubuhkan oleh kerajaan Malaysia pada 2017 sebagai laman web semakan fakta yang dikendalikan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebagai sumber kerajaan yang boleh dipercayai untuk orang ramai mengesahkan maklumat yang mereka terima melalui skrin mereka,” katanya dalam ucapan rasmi di Forum Maya Hari Kebebasan Akhbar Sedunia: Kewartawanan Dalam Tawanan Dunia Digital, di sini pada Rabu.

Ucapan menteri disampaikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) K-KOMM Mastura Ahmad Mustafa.

Dengan perkembangan era digital yang semakin canggih, beliau berkata Malaysia tidak terkecuali menjadi mangsa peningkatan maklumat salah dan maklumat palsu.

"Bagaimanapun, ia bukan fenomena baharu, cuma sekarang ia datang dalam bentuk yang tidak kelihatan kepada kita semua, lebih halus dan apatah lagi lebih berbahaya,” katanya.

Sebagai contoh, Annuar berkata, pandemik Covid-19 telah mewujudkan persekitaran yang semua pihak berkepentingan tidak mempunyai pilihan selain beralih ke dunia digital dalam usaha untuk membendung virus itu.

Beliau berkata, terdapat banyak maklumat salah dalam bentuk berita palsu dan maklumat yang diputarbelitkan semasa kemuncak pandemik yang sukar dibendung kerana dunia digital adalah dunia tanpa sempadan.

Annuar menambah kesan domino pandemik Covid-19 telah mengelirukan kerajaan dan pihak berkepentingan dalam menguruskan panik awam yang timbul daripada kepenggunaan dalam berita, terutamanya melalui media digital.

Beliau juga menyatakan transformasi pendigitalan telah mengubah cara wartawan bekerja, kaedah cara maklumat disebarkan dan cara peristiwa dilaporkan.

"Ia telah memaksa semua jenis media untuk berubah dengan cara yang tidak pernah kita sangka akan berlaku 20 tahun lepas," kata Annuar.

"Kita harus menerima hakikat bahawa pendigitalan industri media didorong oleh perubahan tingkah laku dan harapan pengguna terutama dalam kalangan golongan muda yang menuntut segala-galanya berada di hujung jari mereka, di sini dan sekarang.

"Pengamal media akan bersetuju dengan saya bahawa pendigitalan telah mencabar kod etika kewartawanan secara berterusan. Adakah kita akan menyiarkannya sebelum mendapat semua sisi cerita? Adakah kita mengulangi apa yang dikatakan oleh orang lain tanpa pengesahan? Sekiranya kita tidak menerbitkannya sekarang, adakah kita akan kehilangan pembaca dan penonton kita? Adakah beretika untuk menulis asas cerita pada teks WhatsApp?

"Adakah gambar itu dihantar photoshop? Adakah kita masih akan menyiarkannya? Adakah ia betul dari segi moral? Ini adalah soalan-soalan yang sering ditanya oleh pengamal media yang beretika,” katanya.

Annuar menambah K-KOMM memahami cabaran yang dihadapi pengamal media dan akan berganding bahu dalam usaha memastikan media menegakkan etikanya. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!