Aksi Piala FA 2022 dipinda

Stuart Ramalingam
Stuart Ramalingam
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) pada Rabu mengumumkan mengenai pindaan jadual perlawanan Piala FA 2022 melibatkan aksi Terengganu FC (TFC) berdepan Kedah Darul Aman FC (KDAFC) dan Selangor FC (SFC) menentang Kuala Lumpur City FC (KLC).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam, pindaan jadual perlawanan berkenaan dibuat susulan penyelarasan jadual Liga Super 2022 melibatkan empat pasukan terbabit, sekali gus mengimbangi jadual bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M), musim ini.

Katanya, pelepasan pemain-pemain utama TFC yang beraksi dengan skuad bawah 23 tahun (B-23) ke Sukan SEA Hanoi 2021 lalu, turut menjadi faktor terhadap pindaan tarikh perlawanan berkenaan.

“MFL sebelum ini telah mengumumkan berlaku pindaan jadual melibatkan TFC pada 26 April 2022 dan hari ini pengumuman pindaan jadual perlawanan diumumkan di mana aksi TFC menentang KDAFC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak yang sepatutnya berlangsung pada 14 Mei 2022 dipinda kepada 6 Julai 2022.

“Pindaan tarikh baharu membabitkan pasukan SFC dan KLC pula bagi memberikan tempoh rehat yang cukup berikutan pihak Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) telah membuat pindaan tarikh perlawanan peringkat kumpulan Piala AFC 2022.

“Ini kerana aksi Tampines Rovers bertemu KLC pada 27 Jun 2022 telah bertukar kepada 30 Jun 2022 dan disebabkan itu pertemuan SFC dan KLC yang sepatutnya pada 2 Julai 2022 dipinda kepada 8 Julai 2022,” katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Sementara itu, Stuart berkata, tarikh bagi aksi saingan suku akhir, separuh akhir dan perlawanan akhir Piala FA 2022 juga mengalami perubahan.

“Disebabkan pindaan jadual ini menyaksikan suku akhir Piala FA 2022 yang dijadualkan pada 7 dan 8 Julai 2022, dipinda ke 23 Julai 2022.

“Aksi separuh akhir Piala FA 2022 yang dijadualkan berlangsung pada 23 dan 24 Julai 2022 bertukar tarikh pada 6 Ogos 2022.

“Pindaan jadual ini sekali gus menyaksikan aksi final Piala FA 2022 bakal berlangsung pada 27 Ogos 2022 berbanding jadual asal pada 6 Ogos 2022,” katanya.