Wanita ditahan disyaki dera kanak-kanak

Wanita yang mendera seorang kanak-kanak ditahan polis selepas rakaman video berkenaan tular di media sosial.
A
A

SHAH ALAM - Seorang wanita berusia 30 tahun ditahan polis selepas dipercayai memukul dan mendera kanak-kanak berusia tujuh tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, bertindak atas laporan polis yang diterima, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor telah menahan suspek di sebuah restoran Jalan Sungai Tua, Batu Caves, petang tadi.

Menurutnya, tangkapan kira-kira jam 5 petang tadi mendapati suspek merupakan warga tempatan beralamat di Damansara Damai, Petaling Jaya.

"Siasatan awal mendapati kejadian tersebut dipercayai berlaku di Angsana Apartment, Taman Raintree, Batu Caves pada tahun 2018.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak dan suspek akan direman untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Fadzil berkata, siasatan mendapati, suspek adalah ibu angkat kepada mangsa.

Suspek juga telah berkahwin dengan seorang lelaki yang merupakan bapa saudara mangsa.

“Suspek dan suaminya telah bercerai awal tahun ini. Tindakan suspek yang sering memukul mangsa dikatakan kerana mahu lepas geram kepada bekas suaminya,” katanya.

Kejadian malang itu telah tular di media sosial menunjukkan kanak-kanak itu tunduk menangis apabila ditendang beberapa kali di bahagian badan oleh wanita terbabit.

Dalam rakaman video berdurasi 23 saat itu, wanita itu menendang dan memijak kanak-kanak perempuan itu tanpa belas kasihan.

Wanita itu menyebut perkataan ‘ini anak engkaukan?’ berkali-kali sambil memijak kanak-kanak itu.

Wanita itu turut menangkap gambar kakinya di kepala kanak-kanak tersebut.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia