Homestay tidak wujud: Polis minta mangsa buat laporan

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis meminta mana-mana individu yang menjadi mangsa penipuan tempahan rumah inap desa (homestay) yang tidak wujud di Jalan Pasir Panjang di sini tampil membuat laporan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud berkata, laporan daripada mangsa penting bagi membolehkan siasatan dibuat dan tindakan sewajarnya diambil.

Menurut beliau, setakat ini polis hanya menerima satu laporan daripada seorang lelaki yang merupakan kakitangan kerajaan dari Terengganu berusia 25 tahun pada 3 Jun lalu.

"Berdasarkan laporan, mangsa telah menerima pesanan ringkas dari satu nombor telefon yang mengaku sebagai pemilik 'homestay' di Jalan Pasir Panjang lalu membuat bayaran secara online berjumlah RM221.50 ke dalam satu akaun.

"Mangsa telah pergi ke 'homestay' berkenaan, namun mendapati ia tidak wujud dan membuat laporan polis," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

M Zambri berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan berharap mangsa lain yang turut ditipu membuat laporan polis.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan hasrat beberapa pelancong mahu menghabiskan percutian di Terengganu terbantut selepas mendapati lokasi rumah inap desa di sebuah kampung di daerah ini tidak wujud.

Seorang pelancong yang berjaya dihubungi, Masnawi Md Yusoff, 50, berkata, mereka sekeluarga mengalami perkara sama ketika ingin menyambung cuti di Terengganu setelah melawat beberapa lokasi di Kelantan.

Mangsa dilaporkan menempah rumah inap desa ini secara dalam talian pada pagi Jumaat dan telah membayar sejumlah RM245 untuk menginap selama dua hari, dua malam iaitu pada 5 hingga 7 Jun, namun terkejut apabila mendapati ia tidak wujud.