[VIDEO] KKM sedia pelan strategik hadapi risiko cacar monyet

Khairy menerusi rakaman video yang dimuat naik di laman Facebooknya pada Rabu.
Khairy menerusi rakaman video yang dimuat naik di laman Facebooknya pada Rabu.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyediakan pelan strategik bagi menghadapi risiko kemasukan cacar monyet ke Malaysia.

Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, antaranya tatacara pengesanan dan notifikasi kes, pengambilan sampel, siasatan, pengurusan kes serta kontak rapat.

"Bemula 27 Mei lepas, KKM juga telah menambah amaran kesihatan cacar monyet di dalam aplikasi MySejahtera," katanya menerusi rakaman video yang dimuat naik di laman Facebooknya pada Rabu.

Menurutnya, selepas pengembara mengisi borang prapelepasan dalam aplikasi MySejahtera, pengembara yang tiba dari negara endemik atau negara yang sudah melaporkan kes cacar monyet akan menerima amaran tersebut sebagai peringatan untuk membuat pemantauan kesihatan kendiri jika terdapat sebarang simptom.

"Bagi yang sedang melancong ke luar negara, terutamanya negara yang mempunyai kes cacar monyet, sentiasalah berwaspada.

"Sila berhati-hati. Elakkan aktiviti yang boleh menyebabkan jangkitan cacar monyet dan jika bergejala, segera dapatkan rawatan," katanya.

Setakat Jumaat lalu, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat memaklumkan terdapat lebih daripada 700 kes cacar monyet dilaporkan di seluruh dunia.

Cacar monyet adalah penyakit yang jarang berlaku dan tidak seteruk cacar kecil dengan menyebabkan ruam, demam, menggigil dan lenguh.

Wabak ini biasanya merebak di bahagian Afrika Tengah dan Barat, namun kes telah dilaporkan di Eropah sejak Mei dan jumlah negara yang terjejas meningkat sejak itu.