Facebook larang kandungan promosi nasionalisme, pelampau kulit putih

Larangan terhadap kandungan seumpama itu akan berkuatkuasa pada minggu depan.
Larangan terhadap kandungan seumpama itu akan berkuatkuasa pada minggu depan.
A
A
A

NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT . Facebook melarang kandungan yang mempromosikan nasionalisme dan pelampau kulit putih di platform mereka di tengah-tengah kritikan yang muncul selepas pengganas yang melancarkan serangan ganas ke atas dua masjid di New Zealand disiarkan secara langsung di media sosial terbabit.

Syarikat media sosial gergasi itu mengumumkan perubahan polisi mereka menerusi catatan blog, semalam yang memaklumkan larangan itu akan turut berkuatkuasa di Instagram bermula minggu depan.

"Hari ini, kami mengumumkan larangan terhadap sebarang bentuk sokongan nasionalisme kulit putih di Facebook dan Instagram. Sudah jelas konsep seperti ini dikaitkan dengan kumpulan kebencian yang teratur dan mereka tiada tempat dalam perkhidmatan kami," menurut laman media sosial itu.

Awal minggu lalu, Facebook berada di bawah tekanan untuk memadamkan pelampau kulit putih berhaluan kanan dan kandungan kebencian di platform mereka selepas insiden serangan berdarah di Christchurch yang meragut 50 nyawa itu dipaparkan secara live-streamed di media sosial terbabit.

Siaran video itu mencetuskan kritikan kumpulan hak asasi sivil yang mendakwa Facebook gagal untuk menangani ekstremisme.

Difahamkan, pelampau kulit putih telah diharamkan di bawah peraturan kandungan kebencian Facebook, namun mereka terlalu berwaspada untuk menguatkuasakan larangan itu atas alasan golongan terbabit kononnya 'bahagian penting dalam identiti masyarakat'. - AFP

Artikel Berkaitan: