Melahirkan pencinta jenama Proton

A
A
A

STRATEGI pemasaran paling ampuh dalam dunia permotoran ialah membentuk pengguna setia kepada jenama.

Gergasi permotoran seperti Mercedes, BMW, Toyota dan Honda sentiasa menghasilkan reka bentuk kenderaan canggih dengan menyedari akan selalu ada pengguna yang menanti untuk membeli tanpa rasa ragu.

Justeru, penulis tidak terperanjat apabila membaca artikel dari Kanada ada insan sanggup berbelanja sehingga USD$350,000 (RM1.43 juta) untuk membeli 55 Volkswagen Bus Vintage T2 dalam keadaan tersadai dan usang di kawasan perkampungan di Newmarket, di utara Toronto, Kanada. Pembeli Volkswagen Bus Vintage T2 tersebut dikatakan kelahiran Ontario, Kanada. Semua Volkswagen Bus Vintage T2 tersebut dijual menerusi Kijiji, sebuah laman web atas talian yang sangat popular di Kanada dan dipercayai ada kaitan dengan e-Bay.

Penulis percaya pembeli tersebut tergila-gila kemasyhuran Volkswagen Bus Vintage T2. Kenderaan tersebut dianggap antara ciptaan Volkswagen yang mendapat sambutan luar biasa pada era tahun 60-an, 70-an dan 80-an.

Sehingga kini, masih ada yang mencari dan mahu membeli Volkswagen Bus Vintage T2. Sebagai seorang yang terlibat secara langsung dalam dunia kejuruteraan permotoran, penulis mempunyai sentimen sangat kuat terhadap jenama Proton.

Malah, penulis membeli hampir semua ciptaan terbaharu keluaran Proton. Dalam erti kata lain, penulis ialah seorang pembeli setia atau brand loyalist Proton. Malah, penulis sentiasa mengikuti perkembangan Perusahaan Otomobil Nasional (Proton) dari awal 1985 sejak model SAGA dilahirkan sehingga sekarang.

Penulis juga mengagumi ciptaan terbaharu X70 yang dihasilkan menerusi kerjasama dengan Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd.

Bercerita tentang Proton, penulis juga masih menyimpan keratan akhbar Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamed menggunakan kereta Proton Saga ketika majlis perasmian Jambatan Pulau Pinang pada 14 September 1985.

Artikel Berkaitan:

Proton Saga tersebut model 1.5L enjin SOHC 8 injap 4 silinder hasil kerjasama dengan Mitsubishi.

Januari lalu, nostalgia kembali tercetus apabila Sultan Johor memandu kereta Proton Saga generasi pertama sejauh 22 kilometer membawa Dr Mahathir ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.

Proton Saga dengan nombor pendaftaran Proton 1 tersebut diberikan sendiri oleh Dr Mahathir kepada Ayahanda Sultan Ibrahim, Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail yang ketika itu Yang di-Pertuan Agong.

Agak mengejutkan kerana kereta Proton Saga tersebut sudah berusia 34 tahun namun ia dalam keadaan yang sangat baik. Fenomena itu membuatkan ada yang khabarnya sanggup menawarkan RM5 juta untuk membeli kereta Proton Saga tersebut.

Sebenarnya, ALLAH SWT telah memberi pesanan bahawa manusia memiliki sifat yang selayaknya untuk menjalankan tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah sebagaimana dijelaskan dalam al-Quran Surah Al-Tiin [95:4-6] maksudnya:

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya; Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya (neraka); kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal salih; maka bagi mereka pahala yang tiada putus-putusnya.”

ALLAH mencipta manusia supaya menjadi khalifah di dunia ini dengan tujuan untuk menghasilkan pelbagai ciptaan dan mengimarahkan bumi tempat mereka dilahirkan. Inilah yang dikatakan sebahagian daripada ibadah hamba kepada ALLAH dan sebagai tanda ketaatan mutlak kepada pencipta-Nya.

Artikel dari Kanada itu meyakinkan penulis bahawa pengurusan Proton mempunyai tanggungjawab yang besar untuk menghasilkan kenderaan berkualiti.

Pada masa sama, rakyat Malaysia mesti bukan sahaja menjadi pengguna yang setia dan meyakini jenama nasional, tetapi perlu dilibatkan dalam reka bentuk dan pembuatan Proton dan Perodua sebagai jenama kenderaan setanding Mercedes, BMW, Toyota dan Honda.

Penulis akan terus membantu Proton dan Perodua daripada semasa ke semasa dengan memberi input berkualiti. Sikap ini sesuai dengan firman ALLAH dalam Surah Al-Mu’minuun [23:114-116] yang menyatakan manusia adalah teras kepada kemakmuran tempat mereka sendiri kerana ciptaan manusia itu tidak lah sia-sia kerana akan dipertanggungjawabkan di atas setiap perlakuannya di dunia ini:

“Kamu tidak tinggal (di bumi) melainkan sebentar saja, kalau kamu sesungguhnya mengetahui; Maka apakah kamu mengira, bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (saja)?, dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami? Maka Maha Tinggi ALLAH, Raja Yang Sebenarnya; tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia, Tuhan (Yang mempunyai) Arasy yang mulia.”

Kebanyakan negara maju awalnya telah menempuh jalan sukar dan melakukan kesilapan. Namun, mereka kini telah menjadi bangsa agung. Cuba kita lihat orang Korea dan Jepun yang begitu mengagungkan kereta keluaran mereka. Penulis mempunyai sahabat di Jepun yang sama sekali tidak mahu membeli kereta dari Barat kerana cintanya hanya untuk kenderaan tempatan.

Dengan cara ini mereka berjaya meningkatkan darjat bangsa mereka dengan memantapkan ilmu pengetahuan dan kemahiran bermanfaat melalui pengalaman orang-orang terdahulu. Ini telah ALLAH jelaskan hampir 1,500 tahun lalu terhadap kejadian alam dan apa yang ada di alam ini sebagaimana dalam Surah Asy-Syams [91:1-10] bermaksud: “Demi matahari dan cahayanya di pagi hari, bulan apabila mengiringi, siang apabila menampakkan diri, malam apabila menutupi, langit serta pembinaannya, bumi serta penghamparannya, dan demi jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya), maka ALLAH mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaan, sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang menyucikan, dan rugilah orang-orang yang mengotorkannya.”

Kesimpulannya, penulis percaya rakyat Malaysia harus memakmurkan ekonomi negara sendiri dengan mengutamakan pembelian barangan buatan negara ini dan meningkatkan ilmu kemahiran di dalam bidang keperluan sekarang serta masa depan. Hanya dengan cara ini brand loyalist akan dapat dilahir dan dipertahankan.

* Penulis ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor (UNISEL)