Sila log masuk terlebih dahulu.

Jumlah kontinjen Malaysia ke Birmingham diketahui minggu depan

Jumlah sebenar anggota kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel Birmingham 2022 akan diketahui pada minggu depan. - Gambar hiasan
Jumlah sebenar anggota kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel Birmingham 2022 akan diketahui pada minggu depan. - Gambar hiasan
A
A
A

JUMLAH sebenar anggota kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel Birmingham 2022 bermula 28 Julai hingga 8 Ogos ini, akan diketahui pada minggu depan dengan kira-kira 130 atlet negara bakal beraksi di temasya berkenaan.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, perkara itu akan diputuskan selepas mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan pada 14 Jun, diikuti bengkel bersama pengurus pasukan dua hari kemudian.

"Kita menerima kuota sebanyak 92 atlet, kita harus membuat keputusan dan memilih sukan-sukan yang kita mahu hantar. Kita juga mempunyai beberapa atlet yang telah layak melalui kejohanan kelayakan,” katanya selepas mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM di Wisma OCM, pada Selasa.

Antara sukan yang telah melayakkan diri menerusi kejohanan kelayakan adalah ragbi yang merangkumi 13 atlet, ping pong (8), angkat berat (7) serta sembilan atlet para, selain dua slot tambahan untuk atlet terjun negara iaitu Jellson Jabillin dan Nur Dhabitah Sabri.

Kontinjen Malaysia kali ini sedikit berkurangan berbanding purata 170 atlet sebelum ini, memandangkan tuan rumah mengurangkan jumlah acara dipertandingkan termasuk mengenepikan acara menembak dan memanah.

Selain itu, skuad hoki lelaki tidak menyertai Komanwel kali ini kerana mahu memberikan tumpuan kepada Piala Asia di Jakarta baru-baru ini dan Sukan Asia Hangzhou 2022, yang masing-masing menawarkan tiket ke Piala Dunia 2023 dan Sukan Olimpik Paris 2024.

Namun, Sukan Asia yang dijadualkan bermula 10-25 Sept ini, ditangguh sehingga satu tarikh yang akan diputuskan kelak berikutan peningkatan kes Covid-19 di China.

Mohamad Norza berkata, sehingga ini, pihaknya belum menerima sebarang makluman mengenai tarikh baharu temasya tersebut daripada Jawatankuasa Olimpik Asia dan China. - Bernama

Artikel Berkaitan: