Peluang taja anak yatim di Syria

Siti Sakinah (dua kiri) dan Asni (dua kanan) pada Majlis Menandatangani Kerjasama di Pejabat Syria Care di Seksyen 13.
Siti Sakinah (dua kiri) dan Asni (dua kanan) pada Majlis Menandatangani Kerjasama di Pejabat Syria Care di Seksyen 13.
A
A
A

SHAH ALAM - Syria Care berharap dapat menambah tajaan bagi membantu anak-anak yatim di Syria bagi membolehkan lebih ramai anak yatim di negara berkenaan dapat menerima manfaat.

Pengerusi Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki berkata, kini lebih 600 anak yatim sedang ditaja dan sentiasa mengharapkan bilangan tajaan ini bertambah saban bulan.

Pelbagai usaha digerakkan Syria Care termasuk menerusi program tajaan itu untuk membantu anak-anak yatim di kawasan bencana perang itu bermula sejak 2014.

Malah katanya, badan bukan kerajaan (NGO) itu terus menambah baik keberkesanan program dan menjenamakannya sebagai 'The Orphans Project' pada 2016.

"Justeru, pendaftaran bagi program tajaan ini dibuka sepanjang masa bagi membolehkan lebih ramai anak yatim di negara berkenaan dapat menerima manfaat.

"Program tajaan anak yatim ini terbuka kepada penaja secara individu, berkumpulan dan korporat serta berharap dapat menambah tajaan sehingga 750 anak yatim tahun ini," katanya pada Selasa.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Kerjasama antara Syria Care dan pendakwah terkenal, Asni Mansor yang turut dilantik sebagai ikon program berkenaan pada tahun ini.

Dalam pada itu, Syria Care turut memberi peluang kepada rakyat Malaysia melaksanakan ibadat korban di Syria menerusi program Qurban4Syria.

"Malah, pelaksanaan projek Qurban4Syria tahun ini adalah penganjuran buat kali ke-10.

"Bagi penyertaan ibadat korban, Syria Care menyediakan dua kategori haiwan iaitu korban kambing dan lembu.

"Harga ditawarkan bagi seekor kambing ialah RM1,200 dan lembu RM8,750 seekor manakala satu bahagian lembu RM1,250," katanya.