Campur tangan politik beri kesan kebajikan veteran ATM

Nik Nazmi Nik Ahmad
Nik Nazmi Nik Ahmad
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa mengambil serius masa depan dan menyelesaikan isu membabitkan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang telah berkorban untuk negara.

Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, sehingga kini kerajaan masih belum tampil dengan penyelesaian menyeluruh untuk meningkatkan kemahiran veteran bersara pada usia muda.

Sebaliknya beliau berkata, kerajaan melantik orang politik iaitu Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom sebagai Pengerusi Perbadanan Hal Ehwal Bekas Tentera (PERHEBAT) yang bertanggungjawab melatih anggota tentera yang bakal bersara.

"Pada masa yang sama, campur tangan politik terhadap Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) memberi kesan langsung kepada kebajikan veteran.

"Ini termasuk projek Littoral Combat Ship RM9 bilion yang berhadapan kelewatan, pengambil alihan projek AES bernilai RM555 juta dan lain-lain lagi," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada Isnin, kira-kira 1,000 veteran ATM dari seluruh negara berkumpul di Tugu Negara di Kuala Lumpur bagi menyuarakan tuntutan supaya kerajaan membela kebajikan mereka.

Pengerusi bersama perhimpunan dikenali sebagai Reunion Veteran, Mejar (B) Mior Rosli Mior Mohd Jaafar mendakwa, sudah lapan tahun pihaknya berjuang untuk menegakkan tuntutan yang disifatkan sebagai 'hak kumpulan pesara'.

Bagaimanapun, dakwanya semua tuntutan yang dibuat tidak mendapat perhatian daripada kerajaan.

Nik Nazmi menambah, beliau telah beberapa kali membangkitkan isu veteran ATM di Parlimen dan selepas menanti sekian lama, mereka tiada pilihan melainkan turun menyatakan keluhan mereka.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan juga telah menurunkan peruntukan Jabatan Hal Ehwal Veteran dari RM105 juta kepada RM92 juta dengan penurunan ketara geran dan bayaran tetap dalam Belanjawan 2022.

"Antara 2015 sehingga Oktober 2021, 8,782 anggota tentera telah meninggalkan perkhidmatan tanpa pencen daripada jumlah 36,918.

"Berapa (ramai) di antara mereka menjalankan peralihan ke kehidupan awam dengan berjaya dan berapa ramai yang masih lagi hidup dalam keadaan daif," soalnya.

Tambahnya, penyelesaian menyeluruh perlu diberi perhatian melibatkan membebaskan institusi seperti PERHEBAT dan LTAT daripada campur tangan politik, merangka dasar veteran yang lebih relevan dan praktikal serta dasar pencen yang bermaruah dan bermakna bagi veteran.