Peniaga pasar borong dapat notis FAMA

Samudin (dua, kanan) melihat tanda harga yang terdapat di sebuah kedai menjual sayur-sayuran dalam operasi bersepadu itu.
Samudin (dua, kanan) melihat tanda harga yang terdapat di sebuah kedai menjual sayur-sayuran dalam operasi bersepadu itu.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Sebanyak sembilan notis pelbagai kesalahan dikeluarkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri dalam operasi bersepadu di Pasar Borang Batu Berendam di sini, hari ini.

Pengarahnya, Samudin Hassan berkata, notis kesalahan itu dikeluarkan kepada peniaga yang didapati melanggari peraturan ditetapkan dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Pematuhan GPL (Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan Keluaran Pertanian), dan Menangani Kos Sara Hidup (Col).

"Kesalahan dikenakan notis termasuk melibatkan kegagalan menggunakan label dan tanda harga dikuatkuasakan mengikut Akta 141 1965 dan Peraturan GPL 2008 yang memperuntuk hukuman denda sehingga RM25,000 kepada syarikat manakala RM1,000 ke atas individu," katanya.

Menurutya, kepentingan pelabelan dikuatkuasakan bertujuan mengetahui asal usul sayuran bagi mengenalpasti jumlah racun digunakan ke atas sayuran dijual, selain membezakan sayuran tempatan dan juga import seperti negara Thailand, Vietnam dan sebagainya.

"Bagi kesalahan itu kita boleh menyita jualan peniaga namun pada operasi yang pertama kali diadakan di lokasi itu pada tahun ini kita mengambil tindakan memberi amaran dan memberikan mereka peluang supaya tidak mengulanginya.

"Notis kesalahan dikeluarkan ke atas peniaga borong, bertujuan mahu memastikan peniaga yang menjual runcit atau borong keluaran pertanian, mematuhi kehendak penggredan, pembungkusan di bawah Peraturan GPL 2008," katanya.

Samudin (kiri) bersama Timbalan Pengarah Pembangunan FAMA negeri, Amir Jazlan Jamil memberi amran kepada seorang peniaga yang gagal mempamerkan label harga yang lengkap dan boleh mengelirukan pengguna ketika operasi di Pasar Borong, Batu Berendam, awal pagi tadi.
Samudin (kiri) bersama Timbalan Pengarah Pembangunan FAMA negeri, Amir Jazlan Jamil memberi amran kepada seorang peniaga yang gagal mempamerkan label harga yang lengkap dan boleh mengelirukan pengguna ketika operasi di Pasar Borong, Batu Berendam, awal pagi tadi.

Samudin berkata, secara keseluruhannya sebanyak 36 kesalahan pelanggaran peraturan mengikut pelbagai jabatan yang terlibat dalam operasi terbabit termasuk Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan polis.

Artikel Berkaitan:

"Daripada jumlah itu, 10 kesalahan dikesan LKIM membabitkan lesen perniagaan, dua kes tanda harga di bawah KPDNHEP, 11 kes di bawah Suruhanjaya Sayarikat Malaysia (SSM) kerana gagal mempamerkan lesen perniagaan.

"Empat kes diambil Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana tidak mempunyai lesen memandu," katanya.

Pengarah LKIM negeri, Rosli Mustapa berkata, pihaknya mengesan lima kes perniagaan tanpa lesen, dua kes lesen tamat tempoh dan tiga kes Alibaba.

"Setakat ini kita hanya mengeluarkan amaran dan jika masih gagal memohon dan berniaga menggunakan lesen sendiri, kita akan ambil tindakan tegas termasuk mereka yang melakukan perbuatan menggunakan lesen Alibaba.

"Walaupun pelbagai alasan diberikan, namun berniaga menggunakan lesen orang lain atau pemilik lesen membenarkan berniaga menggunakan lesen yang dikeluarkan LKIM adalah satu kesalahan," katanya.