SADA digesa salur maklumat projek naik taraf LRA

PPIASP terpaksa menyediakan tong sementara bagi mengelakkan penduduk terputus bekalan air ketika berlaku gangguan. Gambar kecil: Johari
PPIASP terpaksa menyediakan tong sementara bagi mengelakkan penduduk terputus bekalan air ketika berlaku gangguan. Gambar kecil: Johari
A
A
A

SUNGAI PETANI - Persatuan Penduduk Impiana Amanjaya Sungai Petani (PPIASP) memohon Syarikat Air Darul Aman (SADA) memaklumkan pelaksanaan kerja-kerja naik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Selambau supaya mereka dapat mengetahui perkembangan projek itu dari masa ke masa.

Pengerusinya, Johari Zainol berkata, projek berkenaan juga dijangka siap sepenuhnya penghujung tahun depan.

Menurut beliau, penduduk daerah Kuala Muda khususnya Parlimen Merbok yang sering terjejas bekalan air juga mahu mengetahui perkembangan itu

"Perkembangan kerja-kerja menaik taraf LRA Bukit Selambau dari 30 juta liter sehari (mld) kepada 70 mld sebenarnya penting bagi memastikan penduduk yang menggunakan sumber tersebut khususnya di Parlimen Merbok dapat menerima bekalan asas itu tanpa gangguan.

"Jika LRA Bukit Selambau siap, kami harap bekalan air yang disalurkan dari LRA Sungai Petani/Pinang Tunggal ke kawasan perumahan ini turut lancar," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kawasan perumahan berkonsepkan berpagar dan berpengawal itu turut mengalami gangguan bekalan air kerana tekanan rendah dan kedudukan lebih tinggi daripada perumahan lain di Ambangan Heights.

Jelas Johari, walaupun tiada gangguan bekalan air dilaporkan dalam cuti persekolahan kali ini namun, penduduk bimbang sekiranya bekalan terganggu secara tiba-tiba seperti sebelum ini.

"Kami telah memohon SADA menempatkan tangki statik bagi membolehkan penduduk mendapatkan bekalan sekiranya sering berdepan gangguan.

"Bagaimanapun, permohonan itu masih belum menerima maklum balas lanjut," katanya.

Menurut Johari, PPIASP terpaksa menyediakan 10 tong berkapasiti 2,000 liter keseluruhan yang diletakkan di pos pengawal keselamatan sebagai alternatif jangka pendek sekiranya berlaku gangguan bekalan air.

"Kita tidak mahu penduduk terpaksa mencari bekalan air di tempat lain sehingga menyukarkan mereka melakukan aktiviti harian terutama yang mempunyai anak kecil dan ahli keluarga yang sakit," katanya.

Sehubungan itu, PPIASP memohon agar SADA memberikan notis awal sekiranya dijangka berlaku masalah bekalan sebagai persediaan.

Sementara itu, Jurucakap SADA berkata, perhatian akan diberikan kepada masalah bekalan di kawasan Kedah Tengah (Daerah Kuala Muda) termasuk Ambangan Heights, Bandar Amanjaya.

Menurutnya, agihan semula bekalan juga akan dilakukan bagi memastikan gangguan berkurangan dan diatasi.

"Saya tidak dapat gambaran teruk (masalah gangguan bekalan) di Ambangan Heights dalam masa terdekat, namun perhatian akan diberikan.

"SADA akan menyediakan tangki statik kepada penduduk bergantung kepada keperluan di sesuatu kawasan," katanya.