Puspakom lanjut operasi khas pemeriksaan kenderaan e-hailing

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) akan melanjutkan waktu operasi untuk pemeriksaan kenderaan e-hailing di beberapa cawangan terpilih berkuat kuasa 1 April ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohammed Shukor Ismail berkata pemandu e-hailing yang mempunyai kenderaan berusia tiga tahun dan ke atas daripada tarikh pendaftaran dapat membawa kenderaan mereka ke cawangan Puspakom pada Sabtu dan Ahad ini bagi merebut peluang pemeriksaan e-hailing khas.

"Kami menggalakkan pengusaha dan pemandu e-hailing untuk menggunakan sistem temu janji dalam talian iaitu laman web www.mypuspakom.com.my atau melalui aplikasi My PUSPAKOM bagi merancang waktu pemeriksaan mereka.

"Perkhidmatan unit bergerak trak Puspakom turut disediakan dengan kuantiti kenderaan yang tertentu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tindakan ini selaras dengan pengumuman Kementerian Pengangkutan untuk semua pemandu perkhidmatan e-hailing mesti membuat pendaftaran lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) sebelum dikuatkuasakan bermula 12 Julai depan. Sebanyak 19 cawangan yang akan beroperasi tujuh hari seminggu iaitu di Wangsa Maju, Cheras, Taman Bukit Maluri (Kuala Lumpur); Padang Jawa, Banting, Bangi, Glenmarie, Batu Caves, Pandan Mewah, Petaling Jaya (Selangor); Mak Mandin, Teluk Kumbar (Pulau Pinang); Gopeng (Perak); Alor Gajah (Melaka); Seremban (Negeri Sembilan); Johor Bahru dan Senai (Johor); Kota Kinabalu (Sabah) dan Kuching (Sarawak). Shukor berkata 10 cawangan terpilih akan beroperasi enam hari seminggu manakala 19 cawangan terpilih akan menjalankan dua jam operasi tambahan di seluruh negara.

Menurutnya, Puspakom turut mengadakan taklimat e-hailing di tiga cawangan iaitu Petaling Jaya, Selangor; Mak Mandin, Pulau Pinang dan Taman Daya, Johor Bahru dari April hingga Julai depan bagi membantu pengusaha dan pemandu e-hailing memahami prosedur serta piawaian pemeriksaan yang perlu dipatuhi.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol Puspakom 1-800-88-6927 atau melayari laman sesawang www.puspakom.com.my atau Facebook rasmi Puspakom. -Bernama

Artikel Berkaitan: