India terus jadi halangan besar Malaysia: Rexy

Rexy Mainaky. - Foto Bernama
Rexy Mainaky. - Foto Bernama
A
A
A

JUARA bertahan India sekali lagi akan menjadi ancaman terbesar Malaysia bagi acara berpasukan campuran pada Sukan Komanwel di Birmingham, United Kingdom, bulan depan.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky berkata, skuad kebangsaan yang merupakan pemenang pingat perak pada edisi Gold Coast 2018, pastinya akan bekerja keras bagi merampas emas dari India yang menjadi pilihan utama mengungguli acara tersebut dalam temasya empat tahun sekali itu.

"BAM merancang untuk menghantar skuad terbaik pada Sukan Komanwel di Birmingham,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Di atas kertas, India kelihatan lebih kuat pada ketika ini memandangkan mereka boleh menyandarkan harapan kepada pemain lelaki seperti Lakshya Sen selain beregu utama Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty bagi membantu mereka untuk mempertahankan pingat emas.

Kesemua pemain tersebut telah membantu India mencipta sejarah menjulang Piala Thomas buat julung kali di Bangkok, Mei lepas.

India juga boleh bergantung harap kepada pemain wanita utama mereka, Pusarla V Sindhu yang ketika ini menduduki ranking ketujuh dunia, jika ia memutuskan untuk menyenaraikan pemain itu dalam temasya tersebut.

Walaupun BAM belum mengumumkan skuad terakhirnya, menilai daripada hasrat Rexy yang mahu menghantar hanya pemain terbaik ke Birmingham, Malaysia perlu membariskan perseorangan lelaki utama, Lee Zii Jia; pemenang pingat gangsa beregu lelaki Sukan Olimpik Tokyo 2020, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan beregu wanita nombor 10 dunia, Pearly Tan-M Thinaah bagi menguatkan cabaran di Birmingham.

Pasukan kebangsaan telah memenangi emas sejak edisi 2006 di Melbourne sehingga India muncul sebagai juara baharu di Gold Coast 2018.

Di Birmigham, Malaysia diundi menentang Afrika Selatan, Jamaica dan Zambia dalam Kumpulan 4, manakala India dalam Kumpulan 1 bersama Australia dan Sri Lanka.

Skuad tuan rumah, England berdepan Singapura, Mauritius dan Barbados dalam Kumpulan 2, manakala Kumpulan 3 terdiri daripada Kanada, Scotland, Maldives dan Uganda.

Sukan Komanwel 2022 dijadual berlangsung dari 28 Julai hingga 8 Ogos. - Bernama