Selangor cadang wujud pelabuhan halal ketiga di dunia

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan negeri Selangor bercadang mewujudkan pelabuhan halal di negeri ini yang berfungsi mengendalikan produk halal dalam jangka masa lima tahun akan datang.

Menurut Exco Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal, Mohd Zawawi Mughni, ketika ini terdapat dua pelabuhan halal di dunia iaitu Rotterdam di Belanda dan Dubai di United Arab Emirates.

"Sekarang sudah ada dua di dunia yang mula melaksanakan (pelabuhan halal), kita akan belajar daripada mereka bagaimana nak melaksanakan penubuhan pelabuhan halal ini.

"Kita akan mencadangkan kepada kerajaan negeri agar program ini disegerakan supaya kita menjadi peneraju kepada industri halal di Malaysia," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Menurut beliau, perancangan itu akan dilakukan dalam jangka masa lima tahun akan datang dan terkandung dalam perancangan utama Persidangan Antarabangsa Halal Selangor.

"Selain menguruskan produk halal, pelabuhan berkenaan juga boleh berfungsi sebagai sistem patuh syariah bagi menjalankan aktiviti ekonomi bersifat halal.

“Kita telah ke Dubai Mac lalu dan terdapat beberapa perbincangan berkaitan asas penubuhan.

"Kita sasar dalam tempoh lima tahun program ini dapat direalisasikan,” katanya.