Kerajaan berhati-hati perkembangan global terutama isu bekalan makanan

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kanan) berkenan berbual bersama Ismail Sabri pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada Isnin. - Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kanan) berkenan berbual bersama Ismail Sabri pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan mengambil pendekatan berhati-hati terhadap perkembangan global terkini khususnya isu bekalan makanan dan kenaikan harga bahan makanan yang menjejaskan kesejahteraan Keluarga Malaysia, kata Perdana, Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, bagi menangani krisis ekonomi yang berlaku akibat pandemik dan konflik Rusia-Ukraine, kerajaan telah merangka tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang untuk menstabilkan bekalan dan harga makanan.

Ismail Sabri berkata, krisis berkenaan mengakibatkan Malaysia, rantau Asia serta rantau lain di dunia mendapat bahananya, dengan rantaian bekalan global terjejas akibat fenomena itu menyebabkan harga bahan makanan dunia meningkat melebihi 30 peratus.

Menurutnya, menerusi tindakan jangka pendek, kerajaan mengumumkan untuk membatalkan kelulusan kuota import (AP) barangan makanan dari luar negara serta merta dan menyekat pengeksportan ayam ke luar negara.

"(Selain itu) memperkenalkan bantuan kewangan secara terus kepada rakyat terutamanya golongan B40 mulai 1 Julai ini, mewujudkan Tabung Agromakanan dengan dana berjumlah RM500 juta melalui pemberian pinjaman mudah kepada pemain-pemain industri agromakanan dan mewujudkan stok penimbal untuk ayam, daging dan ikan bagi memastikan bekalan makanan mencukupi,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika merafak sembah ucapan tahniah sempena Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan yang berlangsung di Istana Negara, di sini pada Isnin.

Istiadat berkenaan bersempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ismail Sabri berkata, lima langkah jangka pendek itu merupakan pendekatan kerajaan dalam melindungi seluruh Keluarga Malaysia daripada beban kenaikan harga barangan, selain pelbagai subsidi yang dijangka mencecah RM71 bilion tahun ini.

Beliau berkata, langkah itu disusuli beberapa langkah jangka masa sederhana dan panjang untuk menstabilkan bekalan dan harga makanan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Malaysia akan terus menyuarakan pendirian dalam menjaga kepentingan dan kedaulatan negara serta membawa suara keamanan sejagat di arena antarabangsa.

Beliau berkata, beberapa siri lawatannya ke luar negara baru-baru ini jelas membuktikan jalinan kerjasama yang baik serta hubungan diplomatik kukuh antara Malaysia dengan negara-negara luar.

Selain itu, kerajaan akan terus bekerja dalam semangat keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran sebagai Keluarga Malaysia yang merentasi fahaman politik dan ideologi demi kesejahteraan semua.

Katanya, segala cabaran akan terus didepani bersama secara kolektif, dengan mencari titik persamaan dan mengenepikan perbezaan.

Sementara itu, bagi memastikan setiap Keluarga Malaysia tidak tercicir dalam arus pembangunan negara, Perdana Menteri berkata, kerajaan sentiasa menambah baik program agenda perlindungan sosial di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, kerajaan telah melaksanakan fasa pertama Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia pada bulan lepas, melibatkan 80 lokaliti bandar dan luar bandar termasuk perkampungan Orang Asli bagi membawa mereka keluar dari kepompong kemiskinan.

"Kehidupan rakyat miskin dan berpendapatan rendah terus dibela, supaya mereka dapat menikmati kehidupan yang selesa,” katanya.

Mengenai fasa peralihan ke endemik di negara ini, Ismail Sabri berkata, bermula 1 Mei lepas, pelbagai kelonggaran diperkenalkan bagi mengembalikan kehidupan dan meningkatkan semula semangat rakyat.

Bagaimanapun, beliau berkata pada masa sama, Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memantau situasi semasa jangkitan Covid-19 dan bekerjasama dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk memastikan kestabilan kesihatan awam berada pada tahap memuaskan serta berfungsi dengan baik.

Perdana Menteri dalam ucapannya bagi mewakili pihak kerajaan, perkhidmatan awam dan rakyat turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka.

"Semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, Raja Permaisuri Agong dan seluruh ahli keluarga sentiasa dikurniakan Allah SWT kesihatan, dilanjutkan usia dan dianugerahkan dengan setinggi-tinggi kemuliaan.

"Tuanku payung kepada rakyat dan patik serta sekalian rakyat tumpang berteduh. Semoga Tuanku berdua terus bersemayam di atas singgahsana dengan kedaulatan, dengan segala kehormatan serta kebesaran dan sentiasa dalam perlindungan Allah SWT jua,” katanya mengakhiri ucapan berkenaan. - Bernama