GST perlu seiring pentadbiran berhemah

Jika kerajaan tidak mampu untuk mengekalkan subsidi ini, rakyat Malaysia akan merana berikutan kos kehidupan rakyat yang meningkat akhir-akhir ini. Gambar hiasan
Jika kerajaan tidak mampu untuk mengekalkan subsidi ini, rakyat Malaysia akan merana berikutan kos kehidupan rakyat yang meningkat akhir-akhir ini. Gambar hiasan
A
A
A

KETIKA harga minyak mentah dunia terus meningkat namun rakyat di Malaysia sebenarnya masih tidak merasai bahangnya kerana harga runcit petrol RON95 kekal pada aras RM2.05 seliter.

Begitu juga dengan kenaikan harga minyak masak botol secara mendadak di pasaran negara di mana harga bagi lima kilogram minyak masak kini berada pada paras RM40 sebotol.

Apakah yang terjadi kepada rakyat Malaysia jika RON95 diapungkan seperti RON97 yang kini berharga RM4.70 seliter, dan tiada minyak masak peket yang disubsidi oleh kerajaan di pasaran?

Namun, rata-rata rakyat Malaysia memilih untuk menggunakan RON95 dan minyak masak peket sekilogram disubsidi kerajaan sekali gus mereka tidak merasai bahang kenaikan harga ini.

Yang terasa bahangnya sudah tentunya kewangan negara yang terpaksa menampung peningkatan kos subsidi demi mengekalkan keselesaan dan mengurangkan beban perbelanjaan rakyat.

Peningkatan kos subsidi yang mendadak ini pasti menyebabkan pendapatan negara kini tidak lagi dapat menampung perbelanjaan dalam mengurus ketika kita baru pulih daripada ancaman Covid-19.

Maka tidak hairanlah apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam temu bual dengan Nikkei Asia baru-baru ini tidak menolak kemungkinan untuk mengembalikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Katanya, kerajaan akan membuat kajian kerana data menunjukkan negara kekurangan pendapatan sebanyak RM30 bilion setahun kerana berpindah daripada GST kepada SST (cukai jualan dan perkhidmatan).

Menjelaskan kenyataan itu, Ismail Sabri ketika merasmikan Hari Alam Sekitar Sedunia semalam di Kuala Lumpur, bagaimana pun berkata, GST tidak akan dilaksanakan dalam masa terdekat kerana kajian masih dilakukan untuk melihat kesan pelaksanaan cukai itu.

Ujarnya, apa yang paling penting adalah rakyat perlu difahamkan terlebih dahulu sekiranya kerajaan bercadang untuk memperkenalkan sebarang sistem percukaian baharu.

Bank Negara (BNM) baru-baru ini pula menyokong idea mengembalikan semula GST kerana dengan berbuat demikian akan meringankan beban kewangan ditanggung kerajaan.

Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine telah menaikkan harga bahan api dan barangan makanan import dan mampu menjejaskan kewangan kerajaan serta memerlukan lebih banyak pendapatan.

Jumlah subsidi bahan api kerajaan dijangka RM28 bilion (AS$6.4 bilion) tahun ini, peningkatan mendadak daripada hanya RM11 bilion pada 2021 berikutan lonjakan harga bahan api global.

Harga minyak mentah dunia melonjak selepas Kesatuan Eropah (EU) mencapai persetujuan untuk menyekat import Rusia sebagai sebahagian hukuman terhadap pencerobohannya ke atas Ukraine.

Harga minyak mentah Brent berada di atas AS$122 setong buat kali pertama dalam tempoh dua bulan.

Selain petrol dan diesel, kerajaan juga memberi subsidi untuk minyak masak, gula, tepung dan gas asli cecair.

Jika kerajaan tidak mampu untuk mengekalkan subsidi ini, rakyat Malaysia akan merana berikutan kos kehidupan rakyat yang meningkat akhir-akhir ini.

Maka isu kenaikan harga barang dan GST ini sudah pastinya akan menjadi topik perbincangan utama dan mempengaruhi kempen ahli politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Namun, masalah sebenarnya bukan ahli politik, tapi mentaliti rakyat Malaysia yang masih tidak menyedari bahawa mereka hidup bergantung sepenuhnya dengan subsidi ini sejak sekian lama.

Namun sisi lain kerajaan harus menumpukan usaha meningkatkan produktiviti negara dan merombak asas ekonomi serta mengelakkan ketirisan.

Ini kerana ramai pakar ekonomi berpandangan sama ada GST atau SST, asas dan dasar ekonomi yang kukuh adalah penting.

Kata mereka GST bukanlah sistem terbaik, tetapi ia diamalkan di banyak negara.

Sebagai contoh, New Zealand mempunyai GST dan rakyatnya dikatakan gembira dengan sistem cukai tersebut kerana ia disokong asas yang baik dan sistem pentadbiran yang cekap serta wang cukai diuruskan dengan berhemah.

Kesimpulannya, jika GST disokong asas baik dan sistem cekap dan berkesan maka ia akan berfungsi dengan baik. Jika tidak, ia hanya membebankan rakyat.

* Mohd Azlim Zainury ialah wartawan Sinar Harian