X

Kindly register in order to view this article
!

'Video tular popularkan pengayuh beca Melaka'

Norhizam (lima,kanan) bersalaman dengan pengayuh beca selepas sidang media itu.
A
A

MELAKA TENGAH - Pengayuh-pengayuh beca di negeri ini memandang positif mengenai beberapa insiden berkaitan duta kecil itu yang tular di media sosial.

Wakilnya, Rosli Mat Zain, 60, berkata, walaupun dalam rakaman berkenaan memberikan imej yang kurang baik berkenaan sikap pengayuh beca, namun di sudut lain ia secara tidak langsung dapat mempromosikan lagi mereka yang sememangnya begitu dekat dengan pelancong.

Menurutnya, orang ramai mahupun netizen bijak menilai sesuatu berita yang tular dan tidak cepat menghukum selain percaya apa yang berlaku disebabkan tindakan seorang individu yang terlalu emosi sehinggakan tercetus 'pergaduhan' membabitkan Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan, Industri Asas Tani dan Koperasi, Norhizam Hasan.

"Tak semua bersikap macam tu, hanya individu tu saja. Dia bukan tak sihat tapi terlalu emosional, bahkan 99.9 peratus orang beca tak setuju dengan tindakan dia.

"Sebenarnya pasal viral tu saya suka sebab dapat popularkan beca Melaka dan secara tak langsung betulkan apa yang tak betul," katanya pada sidang media antara Norhizam dan kumpulan pengayuh beca di Banda Hilir, di sini, hari ini.

Bagi Azman Dolah, 55, pula, dia yakin insiden yang berlaku tidak didalangi oleh mana-mana parti politik, malah tindakan individu dan perbuatan tersebut juga tidak mewakili semua pengayuh beca di negeri ini.

Menurutnya, dia mendakwa individu yang telah berpuluh tahun mengayuh beca sengaja mencari kesalahan orang lain dan berdasarkan rekod sebelum ini pernah berlaku beberapa kes pergaduhan melibatkan individu yang sama di antara pengayuh beca lain.

"Banyak kes laporan polis berkaitan dia. Dia memang bermasalah termasuk bergaduh dengan pengayuh beca lain, dan cakap nak menang saja," katanya.

Sementara itu, Norhizam berkata, dia telah berjumpa dengan perakam video terbabit dan telah memberi ruang kepadanya untuk meminta maaf namun individu itu tetap berkeras mahu tularkan sebahagian video tersebut.

"Saya cakap akan sekolahkan, maknanya pengayuh beca akan diberikan taklimat kursus jangka pendek bagi tujuan pendidikan. Maksud sekolahkan itu benda yang baik dan yang cakap tak sekolah itu bukan saya.

"Semalam persatuan beca juga bersuara marahkan budak ini, dan mahu pukul dia. Saya tahan dan panggil dia supaya minta maaf tapi katanya mahu viralkan juga sebelum saya buat laporan polis," katanya.

Tambah Norhizam selaku exco, insiden tersebut tidak akan mematahkan semangat beliau untuk terus bersama mengambil berat permasalahan golongan itu termasuk hal melibatkan kebajikan pengayuh beca.

Sinar Harian sebelum ini, menyiarkan mengenai sebuah video berkenaan seorang exco kerajaan negeri yang 'berperang mulut' dengan pengayuh beca di pekarangan Menara Taming Sari dan ia menjadi tular.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!