JKNT siasat dakwaan enam rakan keracunan di Pulau Perhentian

Gambar hiasan. - Foto 123RF (Gambar kecil: Dr Kasemani)
Gambar hiasan. - Foto 123RF (Gambar kecil: Dr Kasemani)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menyiasat dakwaan enam rakan yang mendakwa mereka keracunan makanan dan jatuh sakit selepas berenang di perairan Pulau Perhentian Kecil yang dipercayai tercemar dengan sisa kumbahan tidak dirawat.

Pengarahnya, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, setakat ini Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Besut tidak menerima sebarang laporan berhubung kes itu.

"Sehingga kini pihak JKN Terengganu masih dalam proses siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar isu berkenaan.

"Setelah menyemak data kejadian keracunan makanan bagi tahun 2021 sehingga 5 Jun lalu, pihak JKN Terengganu juga tidak menerima apa-apa notifikasi kes keracunan makanan yang berlaku di Pulau Perhentian," katanya dalam kenyataan, di sini, pada Ahad.

Beliau berkata, perkara ini juga telah dibincangkan bersama dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bencana peringkat daerah Besut yang melibatkan Pejabat Daerah dan Tanah Besut,

Majlis Daerah Besut, PKD Besut, Syarikat Air Terengganu (SATU), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Indah Water Konsortium dan lain-lain agensi berkenaan.

"Pihak jabatan ini memandang serius mengenai kes keracunan makanan dan menasihati pengendali makanan supaya sentiasa menitikberat aspek kebersihan serta keselamatan makanan dan minuman yang dijual serta memastikan makanan disediakan bersih serta selamat bagi mengelakkan kes keracunan makanan.

"Kita akan melaksanakan penambahbaikan berhubung perkara ini dalam tempoh terdekat," katanya.

Dalam pada itu, katanya, PKD Besut telah bekerjasama dengan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, JKN Terengganu dan Pejabat Daerah Besut menerusi Operasi Pemeriksaan Premis Makanan dan Bekalan Air di Pulau Perhentian, Besut pada 1 hingga 3 Jun lalu.

Katanya, ia bagi memastikan tahap kebersihan premis penyediaan makanan, keselamatan makanan serta bekalan air berada pada tahap terbaik.

"Sebanyak 49 premis makanan telah diperiksa dan hasil daripada pemeriksaan yang dilakukan, sebanyak 17 premis (34.7 peratus) diberikan Gred A, manakala 32 premis (65.3 peratus) diberikan Gred B," katanya.

Semalam sebuah portal berita melaporkan enam sekawan mendakwa mereka mengalami keracunan makanan dan jatuh sakit selepas berenang di perairan yang dipercayai tercemar dengan sisa kumbahan yang tidak dirawat di Pulau Perhentian Kecil di Terengganu.

Kesemua mereka mendakwa mula muntah-muntah pada malam terakhir ketika menghabiskan meluangkan masa bercuti selama dua malam di lokasi tarikan pelancong itu.