Paras CO2 makin tinggi

Terdapat lebih banyak karbon dioksida di atmosfera berbanding tempoh empat juta tahun lalu. - Foto Agensi
Terdapat lebih banyak karbon dioksida di atmosfera berbanding tempoh empat juta tahun lalu. - Foto Agensi
A
A
A

NEW YORK - Jumlah karbon dioksida (CO2) di atmosfera didakwa mencapai rekod baharu pada Mei sekali gus menyebabkan fenomena pemanasan global secara berterusan, menurut saintis pada Jumaat.

Data dikeluarkan Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) mendapati ia kini berada pada tahap 50 peratus lebih tinggi berbanding paras praindustri sebelum aktiviti manusia seperti pembakaran arang batu dan gas bermula secara meluas pada akhir abad ke-19.

“Kini, terdapat lebih banyak karbon dioksida di atmosfera berbanding tempoh empat juta tahun lalu,” kata jurucakap NOAA.

Difahamkan, kepekatan CO2 mencecah paras kemuncak hampir 421 bahagian per sejuta pada bulan lalu setelah sektor perindustrian, kenderaan dan sumber lain kembali menjalani kegiatan seperti biasa setelah kebanyakan komuniti antarabangsa kini memasuki fasa endemik.

Peningkatan tersebut antara punca menyebabkan keadaan bumi semakin panas yang turut meningkatkan ancaman banjir, gelombang haba ekstrem, kemarau dan kebakaran hutan secara besar-besaran.

Rekod berkenaan juga membuktikan banyak negara gagal menunaikan komitmen mereka terhadap sasaran yang ditetapkan di Paris pada 2015 untuk mengehadkan pemanasan global kepada 1.5 darjah celsius.

“Ia adalah peringatan yang jelas kepada kita supaya segera bertindak dan mengambil langkah serius untuk menjadi negara yang lebih bersedia dengan fenomena perubahan iklim,” ujar Pentadbir NOAA, Rick Spinrad.

Sementara itu, saintis kanan di Global Monitoring Laboratory di NOAA, Pieter Tans berkata, sedikit penurunan paras CO2 ketika pandemik Covid-19 pada 2020 tidak memberi kesan untuk trend jangka panjang.

“Kadar kepekatannya berterusan dan pada tahap yang sama ketika sedekad lalu,” jelasnya. - Agensi

Info

>Pada 2021, jumlah pelepasan CO2 yang direkodkan adalah yang tertinggi dalam sejarah iaitu 36.3 bilion tan.

>Suhu purata global kini berada pada kira-kira 1.1 darjah celsius iaitu paras lebih tinggi berbanding zaman praindustri.