'Rakyat tolak BN punca kalah PRU14, bukan salahkan MCA'

Kuan Joo. Gambar dalam : Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Kuan Joo. Gambar dalam : Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

ALOR SETAR - UMNO Bahagian Alor Setar diharap membudayakan ‘semangat Alor Setar’ dalam kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN), bukannya berterusan bercakap kosong seolah-olah menyalahkan rakan komponen susulan kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Ketua Pemuda MCA Alor Setar, Phee Kuan Joo berkata, penolakan rakyat terhadap BN yang menjadi punca kekalahan parti itu di seluruh negara, bukannya disebabkan rakyat hanya menolak MCA.

Menurutnya, isu terbabit tidak sepatutnya dibangkitkan menjelang PRU15 kerana tumpuan seharusnya diberikan kepada isu rakyat dalam Parlimen masing-masing bagi membatu masyarakat berdepan pelbagai permasalahan.

“Sekiranya diteliti sebab BN hilang kerusi, kita patut tahu semua rakyat menolak BN ketika itu, bukan sahaja MCA atau UMNO. Kita hilang semua kerusi di Parlimen Alor Setar termasuk ketiga-tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU lalu,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Kuan Joo turut membidas kenyataan Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail yang menjadikan peratusan pengundi kaum sebagai indikator untuk UMNO mengambil alih kerusi di Parlimen Alor Setar pada PRU15.

“Seperti yang saya tahu, beliau tidak pernah bincangkan perkara itu dalam mesyuarat BN Alor Setar, sebaliknya sering bangkitkan isu berkenaan secara terbuka. Apakah agenda sebenar beliau?

“Sekiranya berterusan meminta kerusi untuk UMNO dan membezakan antara pengundi Cina dan Melayu, bagaimana beliau boleh meyakinkan rakyat bahawa BN adalah pilihan sebenar rakyat dan bukan kaum tertentu?” soalnya.

Menurutnya lagi, sepatutnya kesemua parti komponen BN memikirkan bagaimana untuk parti melakukan sesuatu untuk kebaikan rakyat, bukan soal siapa calon yang wajar diletakkan di kawasan tertentu.

“Kita mesti tahu apa yang perlu kita fokuskan. Beliau sepatutnya bertanya pada dirinya apa yang boleh dilakukan untuk BN, bukan apa yang dia boleh minta daripada BN?

“Kalau benar mahu bantu ke arah kemenangan, beliau boleh minta pengundi sokong calon MCA. Beliau harus bertindak dan kurangkan bercakap kosong,” katanya.

Pada Jumaat, Mohd Yusof mencadangkan agar kepimpinan tertinggi BN mengkaji semula pemilihan calon di kerusi boleh menang namun kalah ketika PRU14 lalu sebagai panduan merangka strategi baharu menghadapi PRU15.

Antaranya, dengan mengorbankan tradisi lama yang mengekalkan calon berdasarkan kerusi tradisi sesebuah parti komponen.

Mohd Yusof memberi gambaran di Parlimen Alor Setar yang memiliki pengundi Melayu melebihi 64 peratus, sewajarnya diberi peluang kepada UMNO bertanding di kerusi berkenaan bagi mewakili majoriti pengundi Melayu.

Ia susulan calon MCA ditolak dua kali oleh pengundi pada PRU13 dan PRU14.

Mengulas lanjut, Kuan Joo berkata, MCA Bahagian Alor Setar yang diketuai Tan Chee Hiong sentiasa membudayakan ‘semangat Alor Setar’ dengan mengutamakan kesatuan rakyat untuk faedah rakyat, bukannya untuk kepentingan UMNO atau MCA.

“Kita mahu masyarakat setempat dan komuniti menjadi lebih baik, mempunyai kehidupan lebih baik. Kami mahu fokus kepada pengundi dan ‘semangat Alor Setar’ yang diterapkan dengan melakukan kebaikan untuk rakyat.

"Kami tidak mencari siapa menang atau kalah, sebaliknya mencari apa yang kami boleh lakukan untuk rakyat,” katanya lagi.