Sila log masuk terlebih dahulu.

Anak mangsa Covid-19 hasrat sambung perjuangan arwah bapa

Muhammad Mursyied Islamie (kanan) antara 10 penerima sumbangan kewangan oleh Yayasan Keluarga Malaysia sempena Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Terengganu di Kompleks Sukan Gong Badak pada Sabtu.
Muhammad Mursyied Islamie (kanan) antara 10 penerima sumbangan kewangan oleh Yayasan Keluarga Malaysia sempena Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Terengganu di Kompleks Sukan Gong Badak pada Sabtu.
A
A
A

KUALA NERUS - Anak bongsu seorang guru agama yang meninggal dunia akibat Covid-19 tahun lalu menyimpan impian menyambung perjuangan bapanya menjadi pendakwah dan bergelar ulama.

Muhammad Mursyied Islamie Muhammad Mayuddin, 13, berkata, selepas pemergian bapanya, Muhammad Mahyuddin Abdul Rahman, pada 12 Oktober 2021, dia sekeluarga bergantung harap kepada abangnya, Muhammad Mujajiddul Islam, 28, yang bekerja sebagai pendakwah bebas.

Anak bongsu daripada 10 beradik yang tinggal di Kampung Gong Tok Nasek itu berkata, dia bersama seorang lagi abangnya, Muhammad Muqtashied, 16, kini belajar di Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin (SMAASZA).

"Selepas pemergian bapa, kami kini bergantung harap kepada abang bagi menampung perbelanjaan persekolahan.

"Bersyukur sebab dipilih menerima bantuan one-off RM2,500 Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) kerana dapat membantu meringankan beban keluarga. Duit ini saya akan simpan untuk kegunaan akan datang," katanya yang turut mendapat biasiswa sebanyak RM70 sebulan di sekolah.

Muhammad Mursyied Islamie ditemui pemberita pada Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Terengganu di Kompleks Sukan Gong Badak di sini, pada Sabtu.

Muhammad Mursyied Islamie antara 10 penerima bantuan YKM dan menerima replika cek daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Seorang lagi penerima ialah bayi berusia dua tahun, Aisyah Amani Harun yang mendapat sumbangan sebanyak RM2,000.

Artikel Berkaitan:

Ibunya, Noraziah Adam, 36, berkata, bantuan itu akan dimanfaatkan bagi menyara kehidupan mereka tiga beranak selepas kematian suami akibat Covid-19 pada November tahun lalu.

YKM berperanan sebagai sebuah institusi bukan bersifat keuntungan yang membantu anak-anak yang kehilangan ibu atau bapa atau penjaga atau kedua-duanya akibat pandemik Covid-19, kemalangan atau lain-lain bencana seumpamanya.

Ia bertujuan memberikan sokongan terutamanya daripada aspek kebajikan dan pendidikan sehingga waris mencapai usia 18 tahun.