Buruh didakwa lakukan amang seksual budak 8 tahun

Tertuduh kes amang seksual fizikal, Azri Ab Rashid diiringi anggota polis selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang buruh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun pada 13 Mac lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Azri Ab Rashid, 36, dari Kuala Telemong, Hulu Terengganu, mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dengan memasukkan tangan ke dalam seluar dan menyentuh kemaluan mangsa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kuarters Klinik Kesihatan di Marang kira-kira jam 4 petang pada 13 Mac lalu.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 30 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M Lishantini.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.