Sila log masuk terlebih dahulu.

PM digesa tidak tunduk kepada 'kluster mahkamah': Gerakan

Baljit Singh
Baljit Singh
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob digesa agar tidak tunduk kepada pihak yang digelar sebagai ‘kluster mahkamah’.

Naib Presiden Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Baljit Singh berkata, 'kluster mahkamah’ merujuk kepada mereka yang mempunyai kes yang akan atau sedang dibicarakan atau dalam proses rayuan di mahkamah.

"Saya faham Perdana Menteri akan didesak untuk memilih di antara kesetiaan kepada parti UMNO atau barisan kabinet sekarang.

"Mungkin Perdana Menteri akan menerima desakan dan kata dua oleh pihak ‘kluster mahkamah’ untuk menurut kehendak mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Baljit Singh berkata, keadaan inflasi semakin meningkat dan menjadi tekanan kepada rakyat, isu itu patut diutamakan dan kini bukan masanya bermain politik

Beliau berkata demikian apabila melihat situasi Ismail Sabri yang dilihat seperti 'ditelan mati mak, diluah mati bapa' selepas kenyataan dikeluarkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid semasa Sambutan ulang Tahun Barisan Nasional (BN) Ke-48 baru-baru ini.

Sebelum ini, beliau mendakwa, Ahmad Zahid mengeluarkan kenyataan memberi jaminan akan berbincang dengan Perdana Menteri mengenai tarikh PRU15 dalam masa terdekat.

Mengulas lanjut, beliau berpandangan, Malaysia perlu bergerak ke hadapan dengan visi dan misi yang mengutamakan rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Rakyat sudah muak dengan permainan politik dan ini dapat dilihat daripada peratusan pengundi yang rendah semasa pilihan raya negeri di Melaka dan Johor.

"Mereka menderita akibat harga barangan keperluan yang semakin meningkat seperti ayam dan lain-lain tetapi pemimpin asyik bermain politik," katanya.

Selain itu, tambahnya, Perdana Menteri juga seharusnya mengambil kira pendapat dari semua Jemaah Menteri yang sebahagiannya termasuk ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.