Remaja maut, tiga cedera dalam nahas dua motosikal

Keadaan dua mangsa yang terlibat dalam kemalangan di Kampung Banggol Che Wan, Pasir Mas pada Jumaat.
Keadaan dua mangsa yang terlibat dalam kemalangan di Kampung Banggol Che Wan, Pasir Mas pada Jumaat.
A
A
A

PASIR MAS - Seorang remaja maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal di Kampung Banggol Che Wan, di sini, pada Jumaat.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu Muhamad Izzul Irfan Razali, 13, yang merupakan pembonceng motosikal jenis SYM maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah.

Sementara penunggang, Abdul Mu'min Rosdi, 13, mengalami kecederaan dan menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Muhammad Afif Afnan Jamal Abdul Nassir, 20, yang menunggang sebuah lagi motosikal jenis Yamaha Lagenda dan rakannya Muhamad Daniel Ezham Md Jori, 18, mengalami kecederaan ringan.

Salah sebuah motosikal yang terbabit dalam kemalangan di Kampung Banggol Che Wan, Pasir Mas pada Jumaat.
Salah sebuah motosikal yang terbabit dalam kemalangan di Kampung Banggol Che Wan, Pasir Mas pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, siasatan awal mendapati motosikal yang dinaiki oleh Abdul Mu'min bersama Muhamad Izzul Irfan dari arah Meranti menghala ke arah Pohon Tanjung.

"Sebaik tiba di lokasi, motosikal dinaiki oleh Muhammad Afif Afnan Jamal bersama Muhamad Daniel Ezham yang datang dari arah sama telah cuba memotong sebuah lagi motosikal ditunggang Abdul Mu'min," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Menurutnya, susulan itu motosikal Abdul Mu'min bersama rakannya itu telah hilang kawalan lalu melanggar motosikal dinaiki Muhammad Afif Afnan Jamal dari arah belakang.

Beliau berkata, ekoran perlanggaran tersebut, Muhamad Izzul Irfan meninggal dunia di tempat kejadian.

Kes berkenaan disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.