Empat lelaki pecah masuk klinik diberkas polis

Kegiatan suspek memecah masuk klinik berjaya dirakam CCTV.
Kegiatan suspek memecah masuk klinik berjaya dirakam CCTV.
A
A
A

KLANG - Polis menahan empat lelaki dipercayai terlibat dalam kes pecah masuk sebuah klinik Desa Bukit Nilam Meru di sini Sabtu lalu.

Suspek ditahan sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Klang Utara dan JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di hadapan sebuah kedai makan di Jalan Dato Hulubalang Taman Sentosa di sini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, suspek berusia antara 24 hingga 44 tahun itu ditahan sekitar jam 7.30 petang semalam.

Menurutnya, hasil siasatan polis, tiga daripada empat suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau antaranya melibatkan kes dadah dan kes pecah rumah.

"Dalam tangkapan itu, polis turut merampas empat unit telefon bimbit serta dua motosikal jenis Modenas Kriss, warna hitam dan motosikal jenis Yamaha Lagenda, warna hijau yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes ini," katanya.

Nurulhuda berkata, lelaki berusia 24 tahun yang merupakan suspek utama direman empat hari bermula hari ini sementara tiga lagi suspek direman sehari untuk membantu siasatan.

Dalam kejadian sekitar jam 5 pagi Sabtu lalu, sebuah klinik di Meru dipecah masuk seorang lelaki dan melarikan sebuah televisyen LED 40 inci yang terletak di bahagian kaunter pendaftaran klinik berkenaan.

Kejadian disedari oleh doktor klinik tersebut selepas mendapati gril pintu bahagian kanan klinik terdapat kesan diumpil serta mengalami kerosakan, selain klinik juga dalam keadaan berselerak.

Artikel Berkaitan:

Hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di klinik mendapati seorang lelaki menaiki motosikal jenis Modenas Kriss warna hitam telah memecah masuk klinik dan melarikan televisyen tersebut.