Hampir putus harap kerana penyakit buah pinggang kronik, tak sangka ikan betta beri sinar buat bakal jurutera ini!

A
A
A

MELAKA - Mungkin bagi sesetengah orang ikan laga atau pelaga hanyalah ikan picisan tetapi bagi Muhamad Arif Harithah Hariul Nizam, 22, ia memberi makna yang besar dalam kehidupannya sebagai penghidap penyakit kronik.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Arif dikesan menghidap penyakit buah pinggang tiga tahun lalu dan perlu menjalani dialisis sekali seminggu atau mungkin lebih lagi jika keadaan memerlukan.

Penyakit ini juga membuatkan beliau terpaksa melupakan impiannya untuk menggenggam segulung ijazah apabila terpaksa menangguhkan pengajiannya di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor dalam bidang kejuruteraan elektrik.

“Kira-kira seminggu sebelum menduduki peperiksaan akhir semester 6 (tahun akhir) saya disahkan menghidap penyakit buah pinggang, doktor memberitahu bahawa kedua-dua belah buah pinggang saya rosak menyebabkan saya terpaksa menangguhkan pengajian.

“Saya kerap keluar masuk hospital dan banyak masa dihabiskan di atas katil hospital,” katanya dalam wawancara dengan Bernama baru-baru ini, sambil menambah beliau juga berasa hampir putus dengan keadaan dirinya itu.

Namun segalanya berubah apabila ibunya, Zuriana Jasmani, 48, membelikan seekor ikan laga untuk menghilangkan rasa bosannya duduk di hospital.

SEMANGAT IKAN LAGA

Bagi Arif, ikan laga bukan hanya cantik dipandang malah menjadi pembakar semangat untuk dirinya meneruskan kehidupan serta berjuang terus melawan penyakit yang dihadapinya. Semasa terbaring di katil hospital, ikan laga yang dibelikan oleh ibunya itu menjadi penghibur hati. Memerhatikan ikan yang turut dikenali sebagai ikan betta itu menjadikan hatinya menjadi tenang.

Artikel Berkaitan:

Kalau diikutkan Arif biasa membela ikan laga ketika di sekolah rendah. Membesar di Taman Dahlia, Pasir Gudang, Johor, dia akan membeli ikan laga di pekan Pasir Gudang yang ketika itu harganya RM2.50 seekor.

“Ikan ini nampak kecil tetapi berbanding dengan binatang peliharaan lain. Ikan laga mempunyai sifat unik iaitu mempunyai semangat juang yang tinggi dan tidak putus asa ketika bertarung biarpun mengalami kecederaan pada bahagian badan, “ katanya.

Pada peringkat awal, Arif membela ikan laga hanya sebagai hobi. Beliau memelihara sepasang ikan laga yang dibelinya dengan harga RM5 seekor dan dengan menggunakan kaedah cuba jaya, dia cuba membiak ikan laga jenis ‘Halfmoon Betta’.

TUMPANG KEDAI IBU

Apabila cubaannya membiakkan ikan lagi itu berjaya, beliau terdorong untuk memulakan perniagaan ikan laga dan menumpang di satu sudut kedai haiwan peliharaan ibunya yang terletak di perkampungan Duyong, Melaka.

Arif dan keluarganya berpindah dari Pasir Gudang ke Melaka pada Ogos 2016 kerana ayahnya, seorang guru ditukarkan ke sebuah sekolah di Melaka.

Menurut beliau, usaha membiak ikan laga bukan satu perkara yang mudah kerana pada peringkat awal beliau hanya mempelajari teknik pembiakan dengan bergurukan laman sosial ‘Facebook’ dan ‘Youtube’.

“Setelah beberapa bulan gagal, akhirnya saya berjaya menghasilkan benih anak ikan dan dari situlah saya mendapat idea untuk memulakan perniagaan ikan laga secara kecil-kecilan,” katanya.

Rentetan daripada kejayaan itu, Arif semakin gigih melakukan makin berani melakukan eksperimen membaik baka ikan laga yang lebih mahal iaitu Koi Betta dari keluarga Plakad Betta yang boleh dijual pada harga pasaran RM30 hingga RM100 seekor bergantung kepada mutu dan kualiti.

Pengusaha ikan Betta, Muhamad Arif Harithah Hariul Nizam, 22, menunjukkan antara koleksi ikan betta miliknya ketika ditemui di kedai haiwan peliharaan ibunya di perkampungan Duyong, Melaka, baru-baru ini. Ikan betta merupakan antara ikan hiasan yang mendapat permintaan tinggi khususnya penggemar daripada negara Singapura, Thailand, Vietnam, Indonesia, China dan Taiwan. (Foto: Bernama)

Ikan betta mempunyai pelbagai variasi antaranya Plakad betta, Halfmoon betta dan Wild Betta, Koi Betta dari keluarga Plakad betta mempunyai corak seperti ikan Koi yang dihasilkan menerusi kacukan silang.

Arif kini mempunyai lebih kurang 500 pelbagai jenis ikan laga yang dijual pada harga serendah RM5 hingga ratusan ringgit bergantung kepada jenis, warna dan saiz.

Antara 500 jenis ikan laga yang terdapat di kedainya ialah jenis Koi, Fancy, Dumbo, Giant, Half moon, double tail, solid colour dan crown tail.

Beliau berkata mutu ikan laga mengambil kira beberapa perkara antaranya kecantikan, warna, keunikan sifat, jenis, jantina dan juga populariti ikan tersebut apabila memenangi pertadingan ikan laga.

PENDAPATAN TIDAK TETAP

Arif berkata pendapatan daripada menjual ikan laga tidak tetap dan ianya bergantung kepada musim. Biasanya permintaan terhadap ikan laga akan meningkat pada musim cuti sekolah.

Arif berkata secara purata beliau dapat menjual 300 ekor ikan laga sebulan tidak termasuk jualan secara borong.

Beliau berkata ada peminat ikan laga tidak kisah mengenai harga ikan sebaliknya mereka sanggup membeli pada harga yang tinggi apabila berpuas hati dengan mutu dan ciri menarik yang terdapat pada ikan tersebut.

Katanya bagi memenuhi permintaan beliau terpaksa mengambil bekalan ikan laga daripada Terengganu dan Perak kerana bekalan ikan laga di Melaka adalah terhad.

“Saya ada membiak ikan laga dalam skala kecil melibatkan 20 ekor induk, namun proses matang yang mengambil masa panjang iaitu selama tiga bulan ke atas menyebabkan saya terpaksa mencari bekalan ikan dari luar Melaka,” katanya.

CADANG BUKA LADANG IKAN LAGA

Arif berkata impian beliau adalah untuk membuka pusat pembiakan ikan laga sendiri seperti yang terdapat di Thailand.

“Kalau boleh saya ingin ada ‘Betta Farm’ sendiri yang mampu menampung 10,000 ekor ikan pada satu-satu masa kerana ianya masih baharu di negara ini,” katanya sambil menambah, menjadi impiannya juga untuk melawat ladang ternakan ikan laga di Thailand satu hari nanti. Cuma masalah kesihatan tidak mengizinkan untuk beliau berbuat demikian buat masa ini.

Arif turut bercita-cita untuk menghasilkan baka ikan laga sendiri seperti mana yang dilakukan oleh pengusaha ladang ikan laga di Thailand satu hari nanti.

“Bagi saya apa yang penting adalah tidak cepat putus asa dan saya tidak berhenti cuba melahirkan baka ikan laga baharu, saya kini dalam usaha menghasilkan baka kacukan sendiri satu hari nanti,” katanya.

Menurut Arif beliau mungkin menjalani pemindahan buah pinggang tahun depan dan ibunya disahkan doktor sebagai penderma yang sesuai untuk pemindahan satu daripada buah pinggangnya.

MUDAH DIJAGA

Berbanding ikan hiasan lain, ikan laga mudah dijaga kerana ianya tidak memerlukan alat oksigen seperti ikan emas yang memerlukan penjagaan lebih rapi.

Air yang sesuai untuk ikan laga adalah air yang bebas klorin, jika mengguna air paip ianya perlu dirawat mengguna garam kasar yang boleh didapati di kedai ikan hiasan dalam masa tiga hingga lima hari.

Menurut Muhamad Arif Harithah Hariul Nizam yang mengusahakan perniagaan ikan laga, bagi mencantikkan sisik ikan laga, beliau memasukkan daun ketapang ke dalam akuarium untuk beberapa hari.

Beliau berkata makanan untuk ikan laga ialah emping, serangga, alga dan pellet yang mudah didapati di kedai ikan hiasan.

Bercakap mengenai pasaran ikan laga, ianya tidak terhad kepada pasaran dalam negara, malah beliau pernah menerima pesanan daripada peminat ikan laga dari Hong Kong yang membeli tiga ekor ikan laga dari baka ‘Giant Fighter’ dengan harga US$80 (RM332.45) seekor.

“Pada mulanya saya agak terkejut apabila seorang peminat dari Hong Kong membuat pesanan apabila tertarik dengan iklan saya letakkan menerusi laman sosial facebook dan Instagram. Sejak itu saya mula menerima pesan dari beberapa negara seperti Indonesia, Singapura dan Thailand,” katanya.

Bagaimanapun beliau terpaksa menolak beberapa pesanan daripada luar negara seperti Afrika Selatan kerana kos penghantaran menerusi jalan laut melibatkan kos yang agak tinggi berbanding dengan harga ikan.- Bernama

Disunting oleh Melati Mohd Ariff