PRU15 hangat diperkatakan, muncul desakan mahu diadakan segera

PRU15 hangat diperkatakan kembali apabila muncul desakan sesetengah pihak yang mahu ia diadakan dalam kadar segera. - Gambar hiasan
PRU15 hangat diperkatakan kembali apabila muncul desakan sesetengah pihak yang mahu ia diadakan dalam kadar segera. - Gambar hiasan
A
A
A

PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) hangat diperkatakan kembali apabila muncul desakan sesetengah pihak yang mahu ia diadakan dalam kadar segera.

Namun, ada juga beberapa pemimpin politik yang berbeza pendirian dan mahukan PRU15 tidak diadakan lagi bagi memberi fokus kepada kebajikan rakyat.

Ia sekali gus mengundang dilema kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam menentukan tarikh pilihan raya tersebut.

Bagi Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, PRU15 sudah mencapai tempoh matang dan perlu segera dilaksanakan.

Barisan Nasional (BN) juga sudah melakukan persediaan rapi termasuk memperkemaskan jentera parti untuk menghadapi pilihan raya tersebut.

Malah, penganalisis politik juga percaya bahawa sebarang usaha untuk melambatkan PRU15 akan menyebabkan BN tewas.

Berbeza pula dengan kenyataan pemimpin Pas yang melabel pihak mahukan PRU15 diadakan segera sebagai golongan pentingkan diri.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam kenyataan sebelum ini berharap kerajaan tidak tunduk dengan desakan berkenaan dan menumpukan fokus kepada kesejahteraan rakyat serta pemulihan ekonomi.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pula menyifatkan pihak yang mahu PRU15 diadakan segera adalah mereka yang terdesak mahu menjadi menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Justeru, keputusan kini berada di tangan Perdana Menteri untuk memberikan cadangan mengenai tarikh PRU15.

Apa pun harus diingat kebajikan rakyat tetap perlu diutamakan.

Jangan kerana mahu mengejar kemenangan dalam PRU, kebajikan rakyat diabaikan terutama ketika tertekan dengan kenaikan harga barang dan pendapatan tidak menentu.