Gandingan Anwar, Rafizi beri semangat baharu buat PKR

Awang Azman Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
Awang Azman Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2022 yang berakhir baru-baru ini diyakini mampu memberikan semangat baharu kepada parti itu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, kehadiran semula Rafizi Ramli yang menang jawatan timbalan presiden akan membentuk gandingan yang lebih baik bersama Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

"Bagi saya, dalam pemilihan kali ini tiada yang kalah dan tiada yang menang. Seperti Saifuddin Nasution yang kalah kepada Rafizi, beliau tetap mempunyai jiwa besar, selain kelebihan tertentu dan terus bersedia untuk berganding bahu memacu PKR.

"Untuk bergerak ke hadapan, saya kira pemilihan ini memberikan satu impak yang bagus dengan syarat mereka perlu berganding bahu dan memastikan agenda yang lebih besar untuk menarik penyokong," katanya dalam rancangan Wacana Sinar Harian edisi ke-350 bertajuk Mampukan Anwar, Rafizi Pulihkan PKR pada Jumaat.

Wacana itu turut menampilkan Pengerusi Biro Guaman dan Pembangunan Komuniti Wanita PKR, Fadhlina Sidek dan Pemerhati Politik, Iswardy Morni.

Pada masa sama, Awang Azman turut melihat gandingan Anwar, Rafizi dan pemimpin lain perlu membuktikan mereka adalah yang terbaik menjelang PRU15 termasuk menyatukan kembali ahli parti itu.

"Dalam membina parti tidak seharusnya ada unsur 'one man show'. Mereka perlu memastikan apa jua yang dilakukan adalah untuk parti dan setiap daripada mereka tidak boleh ada sifat mendominasi, konflik dan perbezaan pendapat.

"Maknanya, mereka perlu menunjukkan kesatuan yang kuat dan jika ini berjaya dilakukan, mereka boleh bergerak ke langkah kedua iaitu untuk membina gelombang. Ini sangat penting dalam usaha menarik penyokong dan siapa yang pandai memanfaatkan suasana politik pada waktu ini akan menang PRU15," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengharapkan parti dalam Pakatan Harapan (PH) termasuk PKR tidak terlalu taksub dengan idea khemah besar yang sedang diperkatakan ketika ini.

"Adakah khemah yang sedia ini sama ada dalam konteks PKR atau PH ini telah rosak? Atau adakah khemah yang ada itu tidak sesuai lagi? Sedangkan kemenangan PH pada PRU14 adalah kerana kesatuan mereka dan tidak ada pengkhianatan atau sabotaj.

"Saya lihat ini adalah impak daripada kepercayaan palsu yang ditanamkan secara sedar atau tidak menyebabkan ahli dalam PH sendiri teruja dengan khemah besar ini.

"Bagi saya kedudukan sedia ada (parti dalam PH itu) itu boleh cuba dimantapkan terlebih dahulu dan barulah boleh dipertimbangkan cadangan lain termasuk khemah besar," ujarnya.