Pembaharuan cukai kunci utama daya tahan sosioekonomi

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Putrajaya akan terus melaksanakan inisiatif pembaharuan cukai yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Pembaharuan Cukai yang memfokuskan kepada langkah untuk meluaskan asas cukai termasuk menyemak semula insentif, pelepasan dan potongan.

Dalam Kenyataan Pra-Bajet 2023, Kementerian Kewangan (MOF) menyatakan bahawa pentadbiran cukai akan dipertingkatkan lagi melalui pendaftaran pembayar cukai yang komprehensif, latihan lebih baik kepada kakitangan yang menguruskan cukai dan pendaftaran perdagangan rentas sempadan yang lebih baik.

Inisiatif itu juga termasuk pengukuhan audit dan penyiasatan serta menambah baik kepastian dalam undang-undang untuk pembayar cukai.

Di bawah Bajet 2022, anggaran sasaran kutipan hasil cukai adalah RM171.4 bilion atau 10.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) termasuk kutipan cukai langsung sebanyak RM127.3 bilion dan cukai tidak langsung berjumlah RM44.1 bilion.

Setakat April 2022, kutipan cukai langsung berjumlah RM45.6 bilion atau 35.8 peratus daripada sasaran itu manakala kutipan cukai tidak langsung ialah RM17.3 bilion atau 39.4 peratus daripada sasaran.

"Kutipan hasil sehingga April 2022 adalah lebih tinggi daripada jangkaan dan kutipan berikutnya dijangka lebih baik daripada anggaran Bajet 2022 sejajar dengan pemulihan ekonomi yang bertambah baik dan peningkatan aktiviti perniagaan dan masa lapang,” kata MOF.

Sementara itu, MOF berkata, bagi menyokong pertumbuhan ekonomi digital, kerajaan berhasrat untuk melaksanakan e-Invois secara berperingkat bagi meningkatkan kecekapan pengurusan pentadbiran cukai negara.

Ia berkata, e-Invois akan meningkatkan kualiti perkhidmatan, mengurangkan kos pematuhan kepada pembayar cukai serta meningkatkan kecekapan operasi perniagaan.

Ia juga akan memperkemaskan dan mengukuhkan sistem cukai negara, meningkatkan ketelusan cukai dan menyediakan penilaian risiko pematuhan yang lebih tepat.

Ini selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), di mana tumpuan diberikan kepada pengukuhan infrastruktur perkhidmatan digital dan pendigitalan pentadbiran cukai.

"Inisiatif e-Invois ini juga akan menyokong penggunaan Nombor Pengenalan Cukai (TIN) yang akan dilaksanakan di Malaysia mulai tahun ini sebagai langkah untuk mengembangkan cukai pendapatan,” kata Kementerian Kewangan.

MOF berkata, Malaysia sentiasa responsif terhadap perubahan semasa dalam piawaian cukai yang dipersetujui di peringkat antarabangsa untuk memastikan persekitaran yang kompetitif, ia akan menarik pelaburan langsung asing dan domestik serta mencegah aktiviti pengelakan cukai rentas sempadan.

Memandangkan perusahaan multinasional banyak bergantung pada pendigitalan, dasar cukai sedia ada perlu dikaji semula untuk mengelakkan ketirisan hasil dan peralihan keuntungan, katanya,

"Dalam menangani cabaran ini, kerajaan dan Organisasi untuk Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) sedang membincangkan pelaksanaan percukaian terhadap ekonomi digital di bawah Pelan Tindakan Penghakisan Asas Cukai dan Pemindahan Keuntungan (BEPS)

"Kami bersetuju untuk melaksanakan pendekatan dua tonggak yang dijangka akan dilaksanakan mulai tahun depan,” katanya.

Tonggak Pertama menekankan peruntukan hak percukaian dan menyemak peruntukan keuntungan serta peraturan perhubungan kepada negara yang sebelum ini tertakluk kepada penggunaan konsep penubuhan tetap, sama ada melalui perundangan domestik atau dipersetujui melalui perjanjian percukaian dua hala.

Sementara itu, Tonggak Kedua memperkenalkan kadar cukai efektif minimum pada peringkat global sebanyak 15 peratus untuk memastikan ia mengimbangi antara negara dalam menarik pelaburan langsung asing bertujuan untuk menghalang perancangan cukai yang berbahaya yang boleh menyebabkan kebocoran asas cukai dan pemindahan keuntungan ke negara yang mempunyai kadar cukai yang rendah.

"Kerajaan sedang mengkaji butiran teknikal dua tonggak itu, berkemungkinan memperkenalkan Cukai Tambah Nilai Minimum Domestik yang Layak (QDMTT) di bawah Tonggak Kedua," kata MoF. - Bernama