BDB lancar perumahan Bandar Sejahtera

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Faris Najhan Hashim.
A
A

BINA Darulaman Berhad (BDB) melalui anak syarikatnya, Kedah Holdings Sdn Bhd (Kedah Holdings) melancarkan fasa baharu di projek perumahan Bandar Sejahtera dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM 32 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Faris Najhan Hashim berkata, fasa baharu tersebut melibatkan pembinaan yang akan dibangunkan di Seksyen 8, Bandar Pokok Sena dan dijangka mampu memenuhi permintaan terhadap perumahan khususnya bagi penduduk di kawasan berkenaan dan juga kawasan sekitar Bandaraya Alor Setar.

Menurut beliau, pelancaran kali ini melibatkan 70 unit rumah teres dua tingkat dan 16 unit rumah kluster dua tingkat dengan harga jualan bermula daripada RM300,000 hingga RM460,000 dan merupakan kesinambungan daripada pra-pelancaran projek pembangunan yang berlangsung pada Disember 2018 di mana ia telah melebihi peratus jualan yang disasarkan.

“Apa yang menarik dengan pelancaran fasa baharu ini, Kumpulan BDB menawarkan pelbagai insentif kepada orang ramai dengan pembelian mana-mana unit rumah berkenaan yang mana ia bermatlamat untuk membantu memudahkan proses pemilikan rumah terutama dalam kalangan pembeli rumah pertama dan rumah mampu milik.

“Di samping itu, selain daripada rumah kediaman, Kumpulan BDB juga memberi peluang kepada peniaga yang berminat untuk mendaftar bagi rumah kedai dua tingkat yang turut dibuka pendaftarannya,” katanya.

Tambah Faris, Kumpulan BDB juga dalam perancangan untuk melancarkan baki 61 unit rumah teres dan kluster dua tingkat sekaligus menyempurnakan projek pembangunan Zon 1 Bandar Sejahtera pada tahun ini.

Jelasnya, ia sekaligus menunjukkan komitmen Kumpulan BDB untuk menawarkan rumah moden pada harga yang mampu dimiliki oleh bukan sahaja kepada penduduk di kawasan berkenaan tetapi kepada seluruh rakyat Kedah.

“Kami melihat Bandar Sejahtera, Pokok Sena sebagai kawasan baharu yang berpotensi tinggi untuk dibangunkan kawasan perumahan dan sekaligus dapat menaikkan taraf hidup masyarakat di sini.

“Oleh itu, saya mengharapkan projek perumahan ini akan menjadi pencetus kepada projek pembangunan pada masa hadapan bukan sahaja di kawasan berkenaan malah di Daerah Pokok Sena secara khususnya,” ujarnya.

Kedah Holdings terlibat dalam pembangunan perumahan yang dijalankan dalam skala kecil yang mana antara projek-projek perumahan yang telah dilaksanakan adalah Kulim Heights Apartment, Taman Nusantara, Taman Lelasari yang terletak di kawasan pinggir bandar iaitu di Kulim, Kuala Kedah dan Langgar.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia