Kejutan' untuk peniaga warga asing

Ops Belanja berjaya menahan peniaga warga asing.
A
A

KUALA LUMPUR - Terkejut. Itu reaksi peniaga warga asing apabila dicekup pihak berkuasa di pusat beli-belah di ibu negara, semalam.

Ops Belanja hasil maklumat dan risikan Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ini dilaksanakan pada jam 1.10 petang di Jalan Bukit Bintang dan Jalan Sultan Ismail.

Pengarah Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, serbuan ini membawa tangkapan seramai 19 pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia lingkungan 25 hingga 45 tahun termasuk empat wanita.

"Mengikut pecahan tangkapan, warga Bangladesh seramai 15 orang, Myanmar (2 orang) dan Indonesia serta Kemboja masing-masing dengan seorang tangkapan," katanya kepada Sinar Harian.

 Ops Belanja berjaya menahan peniaga warga asing.
Ops Belanja berjaya menahan peniaga warga asing.

Hamidi berkata, kesemua PATI ini merupakan pekerja premis yang menjual pelbagai barangan seperti alatan permainan, beg dan pakaian.

Katanya, penyamaran telah dibuat pihaknya sebagai pelanggan untuk mengesan warga asing yang terlibat dan bekerja dengan digajikan oleh majikan masing-masing. "Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen," katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan pihaknya memberi amaran keras kepada majikan-majikan yang masih berdegil menggajikan pekerja asing tanpa permit kerja yang sah.

Tindakan tegas tanpa kompromi menanti mereka jika melanggar peraturan yang ditetapkan ini.