Rampas dadah RM25.35 juta dibawa masuk dari kawasan segi tiga emas

A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM25.35 juta dipercayai dibawa masuk dari kawasan segi tiga emas menerusi utara tanah air dan Sungai Golok selepas membuat dua serbuan di sekitar Selangor dan Kedah pada Khamis dan Jumaat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, seramai lima individu termasuk seorang wanita diberkas dalam dua serbuan itu.

"Serbuan kira-kira jam 2.30 pagi pada Khamis di sekitar Selangor berjaya memberkas seorang lelaki berumur 40 tahun dipercayai terlibat aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah bagi pasaran tempatan dan antarabangsa.

"Serbuan kira-kira jam 12.50 pagi pada Jumaat sekitar Selangor dan Kedah pula menahan seramai empat suspek berumur antara 25 hingga 39 tahun terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita dipercayai terlibat aktiviti pengedaran dadah bagi pasaran tempatan," katanya dalam sidang media di Dewan Theatrette, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, pada Jumaat.

Kata Ayob Khan, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan oleh seramai 3,421,292 penagih dadah.

"Serbuan pertama berjaya merampas dadah bernilai RM16.4 juta melibatkan dadah jenis Methapatamine seberat 404.3 kilogram; heroin (7.7 kilogram) dan pil ekstasi seberat 35.3 kilogram.

"Serbuan kedua yang dijalankan pula berjaya merampas sejumlah 248.7 kilogram dadah jenis Methapatamine dianggarkan bernilai RM8.95 juta," katanya.

Menurutnya, siasatan dijalankan mendapati sindiket dipercayai mula aktif sejak penghujung tahun 2021.

"Modus operandi sindiket ini menjadikan premis kediaman sebagai tempat menyimpan dadah.

"Kaedah ini digunakan sindiket sebelum di seludup ke negara jiran untuk pasaran antarabangsa dan diedar untuk pasaran tempatan," katanya.

Tambah beliau, semakan dijalankan mendapati dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

"Saringan awal dijalankan mendapati salah seorang suspek positif dadah jenis Methapatamine.

"Kesemua suspek kini direman tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Kata Ayob Khan, selain rampasan dadah, dua serbuan dijalankan itu turut merampas pelbagai jenis kenderaan.

"Tindakan diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakkan Harta) 1988, di mana empat kenderaan milik sindiket disita melibatkan Toyota Fortuner, Kia Optima, Mitsubishi Triton dan Ford Ranger.

"Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta bernilai RM25.7 juta," katanya.

Tambah beliau, Siasatan lanjut berkaitanpolis kini memburu baki suspek yang terlibat

Info

- Segi Tiga Emas ialah kawasan di mana sempadan Thailand, Laos, dan Myanmar bertemu di pertemuan sungai Ruak dan Mekong.

- Rampasan dadah jenis Methamphetamine seberat 653 kilogram, heroin seberat 7.7 kilogram dan pil ekstasi seberat 35.3 kilogram dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan dadah serta sitaan aset berjumlah RM25.7 juta.