RMBJ: Mangsa ditipu digesa tampil buat laporan

Dzulkefly (tengah) menunjukkan cetakan iklan yang diambil daripada media sosial mengenai penipuan pembelian RMBJ oleh ejen palsu.
Dzulkefly (tengah) menunjukkan cetakan iklan yang diambil daripada media sosial mengenai penipuan pembelian RMBJ oleh ejen palsu.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan masih terdapat individu ditipu sindiket ejen pembelian Rumah Mampu Biaya Johor (RMBJ) yang enggan membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Exco Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Sr Dzulkefly Ahmad berkata, ia berkemungkinan disebabkan perasaan malu atau tidak mengetahui saluran terbaik bagi membuat pengaduan berhubung perkara tersebut.

"Kita ada terima maklumat berhubung penipuan yang dilakukan ejen-ejen ini, sekali lagi saya nak maklumkan di peringkat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Bahagian Perumahan tidak pernah melantik mana-mana orang untuk menguruskan perihal pembelian rumah.

"Saya ada statistik mereka yang ditipu, tetapi yang merisaukan adalah mereka tidak melaporkan perkara ini. Saya rasa berkemungkinan ia adalah disebabkan perasaan malu ataupun berasa begitu naif kerana mudah ditipu sedemikian.

"Perkara ini kita lihat apabila pemohon yang ditipu mudah membuat bayaran dengan jumlah ditetapkan secara tunai tetapi dalam masa sama mereka tidak mendapat sebarang resit rasmi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Seminar Transformasi Dasar Perumahan Rakyat Johor 2019, di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Mengenai statistik terkini, Dzulkefly memaklumkan, pihaknya telah mengenalpasti terdapat dua kes penipuan pembelian RMBJ yang mana melibatkan seramai kira-kira 70 pemohon.

Katanya, ia berdasarkan laporan polis yang dilakukan pada Februari lalu melibatkan kerugian wang ringgit bernilai kira-kira RM500,000.

Artikel Berkaitan:

"Kita menerima tiga kes tahun ini, tetapi satu sudah didakwa di mahkamah manakala dua lagi berada dalam siasatan polis. Saya ringkaskan kes pertama sedang disiasat itu adalah berdasarkan laporan polis yang dibuat di Larkin, 21 Februari lalu.

"Daripada laporan itu, terdapat 70 pemohon yang memaklumkan diri mereka ditipu seorang wanita yang mendakwa dirinya adalah ejen kepada SUK Perumahan untuk pembelian RMBJ di Bandar Dato Onn, dan Taman Sierra Perdana," katanya.

Beliau berkata, manakala satu lagi kes adalah melibatkan dua pemohon yang membuat laporan polis di Balai Skudai, yang memaklumkan kedua-dua mereka telah membuat pembayaran sebanyak RM13,000 untuk mendapatkan kelulusan membeli RMBJ.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, kerajaan negeri kini sedang giat melakukan kerjasama bersama Polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membendung isu ini.

"Kerjasama erat ini sentiasa dilakukan, namun kita juga mahu mereka yang mempunyai maklumat atau sudah menjadi mangsa tampil membantu. Kita perlukan maklumat agar pelaku ini boleh dibawa ke muka keadilan," katanya.