Bomoh didakwa rogol pesakit

Tok bomoh (kiri) yang didakwa merogol wanita yang datang untuk mengubati penyakitnya.
A
A

KOTA BHARU – Seorang bomoh dihadapkan ke mahkamah sesyen, di sini, hari ini atas dua tuduhan merogol pesakitnya, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Azman Saat, 48, bagaimanapun mengaku tidak salah terhadap kedua-dua tuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim, Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 22 tahun di dalam bilik di sebuah rumah belakang Sekolah Menengah Dendang, Ketereh, di sini, pada jam 1 petang, 30 Julai 2016.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Pada tuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan perhubungan seks dengan mangsa sama menggunakan jari telunjuk tanpa kebenarannya pada masa, tarikh dan lokasi sama.

Bagi tuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun serta hendaklah juga dikenakan sebatan.

Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Abu Arsalnaa Zainal Abidin, manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad Nizam Mohamad.

Terdahulu, Ahmad Nizam memohon jaminan terhadap tertuduh dibenarkan, namun Abu Arsalnaa membantah permohonan itu berikutan tuduhan serius yang dihadapi lelaki terbabit selain tertuduh mengenali mangsa dan berkemungkinan akan mengganggunya.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin dengan jumlah jaminan RM20,000 dan menetapkan syarat supaya tertuduh melaporkan diri di Balai Polis Ketereh setiap 1 hari bulan setiap bulan.

Ahmad Bazli turut mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang mengganggu saksi-saksi pendakwaan dan mangsa.

Tertuduh dibebaskan selepas menjelaskan jaminan.

Difahamkan, mangsa bekerja sebagai pembantu klinik itu dikatakan terkena buatan orang dan berjumpa tertuduh yang menawarkan perkhidmatan perubatan alternatif bertujuan mengubati penyakit itu.

Kes ditetapkan pada 23 April depan untuk sebutan semula.