Britain rai sambutan bersejarah Jubli Platinum

Laluan The Mall menuju ke Istana Buckingham dibanjiri rakyat dan pelancong asing yang mahu meraikan acara bersejarah tersebut. - Foto AFP
Laluan The Mall menuju ke Istana Buckingham dibanjiri rakyat dan pelancong asing yang mahu meraikan acara bersejarah tersebut. - Foto AFP
A
A
A

LONDON - Britain pada Khamis memulakan sambutan selama empat hari bagi meraikan ulang tahun ke-70 Ratu Elizabeth II menjadi ratu pertama memegang takhta paling lama dalam sejarah monarki negara itu yang menyaksikan lautan merah, biru dan putih membanjiri beberapa lokasi sejak awal minggu lalu.

Kehadiran permaisuri berusia 96 tahun itu pada acara Jubli Platinum tersebut merupakan peristiwa penting kepada baginda berikutan ia tidak pernah diraikan mana-mana pemerintah terdahulu.

Bagaimanapun, Istana Buckingham dalam satu kenyataan memaklumkan baginda terpaksa menarik diri daripada menyertai upacara keagamaan di gereja yang dijadualkan pada Jumaat kerana 'mengalami sedikit ketidakselesaan'.

"Baginda tidak akan menyertai acara di Katedral St Paul setelah mengambil kira beberapa faktor termasuk bentuk aktiviti yang akan diadakan," ujar jurucakapnya.

Gambar menunjukkan pelbagai imej dan gaya Ratu Elizabeth II sepanjang tujuh dekad bergelar permaisuri Britain dipaparkan ketika The Lighting of The Principal Beacon di Istana Buckingham. - Foto AFP
Gambar menunjukkan pelbagai imej dan gaya Ratu Elizabeth II sepanjang tujuh dekad bergelar permaisuri Britain dipaparkan ketika The Lighting of The Principal Beacon di Istana Buckingham. - Foto AFP

Sebelum ini, baginda dikatakan berdepan kesukaran untuk berjalan atau berdiri bagi tempoh yang lama selain mengalami masalah kesihatan sejak pemergian suaminya, Putera Philip pada April 2021.

Tetapi, Ratu Elizabeth II enggan menghampakan rakyat dan pelancong asing tetap tampil dengan gaya elegan walaupun bertongkat di balkoni Istana Buckhingham untuk memberi tabik hormat kepada perarakan tentera.

Baginda kemudiannya membuat penampilan kedua bersama ahli keluarga kerabat diraja yang lain termasuk cicitnya, George.

Kombinasi gambar menunjukkan Ratu Elizabeth II ketika tampil di balkoni Istana Buckingham di London pada Hari Pertabalan baginda pada 2 Jun 1953 (gambar atas) dan sewaktu sambutan Jubli Platinum yang bermula pada Khamis.

Sementara itu, Putera Harry bersama isterinya, Meghan Markle yang melepaskan gelaran diraja mereka turut hadir, namun hanya menyaksikan acara perarakan itu di bangunan tidak jauh dari Istana Buckingham kerana mahu mengekalkan imej 'low profile'.

Menerusi titah baginda pada Rabu, Ratu Elizabeth II turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak di Britain dan seluruh dunia yang terlibat dalam penganjuran sambutan Jubli Platinum tersebut yang disifatkan sebagai 'simbol muhibah'.

"Beta berharap hari-hari mendatang akan memberi peluang kepada kita untuk merenung semula pencapaian sepanjang tujuh dekad ini sambil melihat masa dengan yakin dan bersemangat," titah Ratu Elizabeth II yang mengambil alih takhta pada usia 25 tahun selepas kemangkatan ayahandanya pada 1952.

Ratu Elizabeth II menyentuh Commonwealth Nations Globel untuk menyalakan lampu 'Lighting of the Principal Beacon' di luar Istana Buckingham di London. - Foto AFP
Ratu Elizabeth II menyentuh Commonwealth Nations Globel untuk menyalakan lampu 'Lighting of the Principal Beacon' di luar Istana Buckingham di London. - Foto AFP

Pemimpin di seluruh dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan negara Komanwel juga tidak melepaskan peluang untuk menyampaikan ucapan tahniah kepada baginda.

Sambutan pertama Jubli Platinum di Britain itu akan dimeriahkan dengan pelbagai acara hiburan jalanan seperti konsert yang akan disertai kira-kira 6,000 penghibur sehingga Ahad ini. - AFP