Heard tak mampu bayar ganti rugi kepada Depp

Amber Heard
Amber Heard
A
A
A

WASHINGTON - [DIKEMAS KINI] Pelakon Hollywood, Amber Heard tidak dapat membayar ganti rugi lebih daripada AS$10 juta (RM43.85 juta) kepada bekas suaminya, Johnny Depp yang juga seorang pelakon filem, kata peguamnya pada Khamis.

Peguamnya itu membuat kenyataan berkenaan selepas juri di sebuah mahkamah di Amerika Syarikat (AS) memberikan ganti rugi tersebut kepada aktor filem 'Pirates of the Caribbean' yang menang dalam kes fitnah terhadapnya.

Kes fitnah itu berakhir Rabu lalu.

Depp, 58, menyaman Heard sebanyak AS$50 juta (RM219.63 juta) kerana memfitnahnya dalam satu artikel di akhbar The Washington Post pada tahun 2018 yang menggelarkan aktor tersebut sebagai tokoh awam mewakili penderaan domestik.

Bagaimanapun, Heard yang berusia 36 tahun menyaman balas Depp sebanyak A$100 juta (RM438.50 juta).

Aktres itu kemudian menerima ganti rugi sebanyak AS$2 juta (RM8.77 juta) kerana peguam Depp, Adam Waldman menyatakan di sebuah akhbar bahawa dakwaan Heard itu satu penipuan.

Ditanya pada program televisyen 'Today' terbitan NBC jika Heard akan dapat membayar ganti rugi tersebut, peguamnya, Elaine Bredehoft menjawab seperti dilaporkan AFP: "Oh tidak, sama sekali tidak."

Bredhehoft berkata, Heard mahu membuat rayuan berhubung keputusan itu. - Agensi