Cacar monyet: Kedah laksana langkah saringan awal

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PENDANG - Tindakan menyaring individu yang tiba di pintu masuk sempadan negara melalui negeri Kedah akan dilakukan bagi mengesan individu yang berisiko dijangkiti cacar monyet atau monkeypox.

Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, ia sebagai langkah berjaga-jaga yang diambil sekiranya terdapat laporan mengenai pelancong berisiko dijangkiti dari negara terlibat penyakit itu.

"Setakat ini kami belum menerima sebarang laporan dari negara yang terdapat kes penyakit terbabit. Pertama penyakit ini dikesan di Afrika dan merebak di beberapa negara di Eropah, jadi individu yang dijangkiti dan hendak kembara ini, memang negara terbabit akan buat kawalan, negara kita sendiri pun ada kawalan kes-kes seperti ini.

"Kita akan buat saringan di pintu masuk termasuk ambil darah untuk kesan virus cacar monyet," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Sukan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Kedah Tahun 2022 di Dewan Cenderawasih di sini hari ini.

Dr Mohd Hayati berkata, pihaknya turut menasihatkan agar bakal jemaah haji sentiasa berhati-hati bagi mengelak dijangkiti cacar monyet ketika menunaikan haji tidak lama lagi.

"Saya nasihatkan jemaah haji agar tidak bersentuhan secara langsung dengan jemaah dari negara lain, kita harap tiada jemaah negara kita dijangkiti penyakit itu sebab kita tahu jemaah haji ini datang dari pelusuk dunia," katanya.

Sementara itu, Dr Mohd Hayati berkata, walaupun kes jangkitan Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) meningkat di Kedah sehingga kini mencecah 3,403 kes namun ia masih terkawal.

"Kita rawat dengan masukan air, kes HFMD ini tidak serius seperti Covid-19, kanak-kanak yang dijangkiti HFMD selalunya akan dikuarantin selama 14 hari dan akan sembuh sendiri," katanya ketika ditanya mengenai kes jangkitan HFMD yang terus meningkat di negeri ini. - Bernama