Pangsapuri, rumah jadi stor simpan dadah RM1.25 juta

Kamarul Zaman (tengah) menunjukkan antara dadah yang dirampas dalam beberapa serbuan berkenaan.
Kamarul Zaman (tengah) menunjukkan antara dadah yang dirampas dalam beberapa serbuan berkenaan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Suami isteri warga emas bersama anak lelaki dan seorang rakan anaknya ditahan kerana disyaki terlibat sindiket pengedaran dadah yang aktif sejak empat bulan lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua suspek ditahan menerusi beberapa serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini bermula jam 3.30 petang antara semalam dan kelmarin.

Beliau berkata, serbuan itu turut melibatkan pemeriksaan di sebuah pangsapuri dan sebuah rumah dipercayai dijadikan stor penyimpanan bahan terlarang itu.

“Kita menahan tiga suspek yang merupakan ahli keluarga iaitu lelaki berusia 73 tahun, isterinya berusia 70 tahun dan anak lelakinya berusia 36 tahun.

"Selain itu, seorang lagi suspek yang merupakan rakan kepada anak pasangan itu yang juga berusia 36 tahun turut ditahan," katanya.

Beliau berkata, dalam serbuan dilakukan, polis telah menemui dan merampas pelbagai jenis dadah berupa 14.31 kilogram (kg) serbuk ekstasi, 4.06kg ketamin, 3.76kg ekstasi dan 1.65kg (6,440 biji) pil eramin 5 yang dianggarkan bernilai RM1.25 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini pada Khamis.

"Hasil ujian air kencing dilakukan turut mendapati dua suspek disahkan positif dadah jenis methamphetamine selain seorang suspek turut memiliki rekod jenayah lampau bersabit kes dadah," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati modus operandi kegiatan berkenaan adalah dengan menjadikan kediaman mereka sebagai stor penyimpanan dadah untuk memenuhi pasaran tempatan.

“Kalau lihat daripada cara mereka membungkus dadah ini, kita percaya rumah-rumah ini hanya digunakan sebagai stor. Bagaimanapun kita akan siasat sama ada suspek turut terlibat dengan kegiatan memproses dadah.

“Kita percaya dadah-dadah ini adalah untuk menampung pasaran di kelab-kelab malam sekitar bandar raya ini dengan jumlah pengguna kira-kira 200,000 orang,” katanya.

Katanya, kesemua suspek kini direman selama tujuh hari bermula 1 Jun bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.