Argentina unggul di London

Pemain Argentina meraikan kejayaan menjuarai kejuaraan Finalissima selepas menewaskan Itali di Stadium Wembley, London pada Khamis.
Pemain Argentina meraikan kejayaan menjuarai kejuaraan Finalissima selepas menewaskan Itali di Stadium Wembley, London pada Khamis.
A
A
A

ARGENTINA membuktikan gergasi Amerika Selatan tersebut dalam kelas tersendiri apabila membelasah jagoan Eropah, Itali 3-0 dalam perlawanan Finalissima di Stadium Wembley, London pada Khamis.

La Albiceleste kendalian Lionel Scaloni dan The Azzurri pimpinan Roberto Mancini masing-masing ternyata tampil dengan persembahan seimbang pada perlawanan berintensiti tinggi tersebut.

Bagaimanapun Argentina ternyata memanfaatkan peluang apabila mendahului 2-0 pada separuh masa pertama hasil jaringan Lautaro Martinez (28') dan Ángel Di María (46').

Paulo Dybala yang tampil sebagai pemain gantian kemudian melengkapkan kemenangan bergaya Argentina pada minit ke-94 dalam kejuaraan menampilkan juara Copa America dan juara Euro dalam tempoh 29 tahun.

Pada perlawanan itu, pemain pertahanan Itali, Giorgio Chiellini bermain pada separuh masa pertama dalam perlawanan antarabangsa yang ke-118 juga merupakan aksi terakhirnya bersama The Azzurri.

Kejuaraan ini juga mengimbau semula Piala Artemio Franchi, pertandingan dua kali sebelum ini yang menyaksikan edisi 1985, Perancis menewaskan Uruguay manakala Argentina menewaskan Denmark melalui penalti pada 1993.

Sementara itu, bintang Argentina, Lionel Messi yang tenggelam di musim pertama bersama gergasi Ligue 1 Perancis, Paris St Germain (PSG) menyifatkan kejuaraan tersebut amat bermakna buat pasukan berkenaan khasnya para penyokong La Albiceleste.

"Ya, kami tahu sejak awal ia akan menjadi perlawanan berintensiti tinggi yang sengit dan sememangnya ia sesuatu yang menggembirakan apabila menjadi juara.

"Sejujurnya ia adalah perlawanan akhir yang terindah apabila dihadiri para penyokong Argentina, diakhiri dengan keputusan amat bermakna buat pasukan," katanya.