Kelantan FC beri tumpuan perbaiki serangan, kawalan bola

Foto TRW Kelantan FC
Foto TRW Kelantan FC
A
A
A

PENGENDALI Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya akan menggunakan tempoh rehat kira-kira sebulan bagi memantapkan pasukan terutama di bahagian serangan yang belum menyengat bagi menghadapi pusingan kedua Liga Premier bermula akhir bulan ini.

Bekas pemain berusia 43 tahun itu berkata, sejak saingan liga berehat pada 28 Mei lepas, barisan kejurulatihan sedang berusaha keras memperbaiki kelemahan tersebut termasuk dalam aspek kawalan bola yang masih belum sempurna.

"Sembilan perlawanan sebelum ini saya lihat ada perkara perlu diperbaiki oleh pemain untuk menghadapi perlawanan seterusnya terutama sekali di posisi penyerang yang kadang-kadang kita buntu menjaringkan gol.

"Selain itu, kawalan bola masih belum menampakkan gaya permainan yang dimahukan sehingga menyebabkan pihak lawan mudah merebut bola daripada kaki pemain kita," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Pusingan kedua Liga Premier musim 2022 akan disambung semula dari 25 Jun hingga 3 September.

Kelantan FC muncul pendahulu liga dengan mengumpul 22 mata hasil tujuh kemenangan, satu seri dan satu kekalahan selepas mengharungi sembilan perlawanan.

Mengulas lanjut, Rezal Zambery berkata, kelemahan itu perlu diperbaiki bagi memastikan pasukannya terus mengekalkan kedudukan sebagai pendahulu liga sehingga tamat saingan liga.

"Kita juga akan ubah taktikal bagi menghadapi pusingan kedua kerana kita jangka berdepan tentangan sengit daripada pencabar seperti Johor Darul Ta'zim (JDT II) dan Kelantan United (KUFC).

"Penggiliran pemain juga akan dilakukan supaya mereka kekal fokus mempamerkan aksi terbaik untuk diturunkan sebagai kesebelasan utama selain mengelakkan pemain mengalami kecederaan," katanya. - Bernama