Pengedar dadah sanggup bahaya nyawa isteri, anak untuk lepaskan diri

Lokasi kejadian polis terpaksa melepaskan enam das tembakan ke arah tayar kereta dipandu suspek. - Foto: Pembaca Gambar kecil: Mior Faridalathrash
Lokasi kejadian polis terpaksa melepaskan enam das tembakan ke arah tayar kereta dipandu suspek. - Foto: Pembaca Gambar kecil: Mior Faridalathrash
A
A
A

IPOH - Seorang lelaki dipercayai pengedar dadah sanggup membahayakan nyawa isteri dan anak lelakinya berusia dua tahun dengan memandu secara berbahaya dalam cubaan melarikan diri daripada polis di Ayer Tawar, Manjung pada Rabu.

Dalam kejadian sekitar jam 4 petang itu, polis terpaksa melepaskan enam das tembakan ke arah tayar kereta jenis Volvo dipandu suspek selepas bertindak merempuh kenderaan anggota.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kejadian berlaku ketika anggota menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan Ayer Tawar.

Menurutnya, ketika cuba ditahan untuk pemeriksaan, suspek enggan memberi kerjasama dan bertindak agresif melanggar bahagian hadapan kenderaan polis.

"Polis yang berasa terancam dengan tindakan suspek itu telah melepaskan tembakan.

"Kereta itu bagaimanapun berjaya lepas sebelum anggota bertindak mengejar bagi menahan suspek," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Beliau berkata, tangkapan ke atas suspek berjaya dibuat selepas polis mengejar kenderaan berkenaan sejauh kira-kira 800 meter.

Katanya, pemeriksaan ke atas kenderaan itu telah menemui 33 peket dadah jenis syabu dianggarkan seberat 62.5 gram.

"Polis turut menahan isteri serta anak lelaki suspek masing-masing berusia 38 dan dua tahun yang berada di dalam kereta terbabit bagi tujuan siasatan.

"Kes kini disiasat di bawah 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh," katanya.