Lambakan ikan darat

Nazita menjual ikan darat atau ikan air tawar menjelang musim tengkujuh di gerainya di Jalan Pasir Mas Rantau Panjang hari ini. - Foto Bernama
Nazita menjual ikan darat atau ikan air tawar menjelang musim tengkujuh di gerainya di Jalan Pasir Mas Rantau Panjang hari ini. - Foto Bernama
A
A
A
PASIR MAS - Musim tengkujuh paling dinantikan penggemar 'ikan darat' atau ikan sungai berikutan lambakan hasil aktiviti menjala di kawasan dinaiki air selain menjadi sumber pendapatan tambahan bagi segelintir keluarga.

Permintaan tinggi kepada ikan sungai pada musim tengkujuh membolehkan seorang penduduk di Kampung Serungga di sini, meraih pendapatan sehingga RM400 sehari dengan menjual ikan sungai.

Peniaga, Nazita Hamat, 47, yang mengakui sentiasa menganggap musim tengkujuh sebagai rahmat bagi beliau bersama lapan anak dan isteri sejak lapan tahun lalu dengan menjual ikan darat di Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang.

"Saya menjalankan aktiviti ini yang turut dibantu oleh dua anak saya, sebagai sumber pendapatan sampingan ketika musim ini bagi menampung perbelanjaan keluarga apatah lagi pendapatan yang diperoleh agak lumayan,” katanya.

Beliau yang juga seorang pengawal keselamatan di sebuah gudang di daerah ini berkata, dia mendapatkan bekalan daripada hampir 70 orang pembekal di sekitar daerah ini yang mencecah 100 hingga 200 kilogram (kg) sehari dengan pelbagai jenis ikan antaranya patin sungai, baung, haruan, lampam, toman galang dan juga belut.

Nazita berkata, setiap spesies dijual dengan harga berbeza bermula RM10kg dan boleh mencecah sehingga RM70 sekilogram.

Yang menariknya, setiap jenis ikan digantung di tepi jalan bagi menarik perhatian pengguna jalan raya untuk berhenti seterusnya membeli hasil tangkapan berkenaan.

Seorang pelanggan tetap yang ditemui, Muhamad Khairi Omar, 40, berkata dia amat gemar ikan sungai yang dijual pada musim ini kerana rasanya yang lemak dan ada baunya yang tersendiri.

"Memang ada ikan ini dijual di pasar, tapi rasanya sedikit berbeza membuatkan saya tidak melepaskan peluang untuk mendapatkannya secara segar dari peniaga ketika musim tengkujuh ini yang banyak dijual di tepi jalan sahaja," katanya yang sudah tiga hari berturut-turut membeli ikan sungai ini.
Artikel Berkaitan:


Seorang pembeli, Soh Mohd,43, berkata dia amat gemarkan ikan sungai yang memang enak untuk dibuat pelbagai masakan walaupun hanya digoreng.

“Setiap kali berkunjung ke Pasir Mas pada musim ini, saya akan membeli ikan lampam atau haruan kerana amat gemarkan spesies ini yang sesuai digoreng.

Lagipun pada musim ini sahaja selera mahu merasai ikan jenis ini dan sudah pasti amat menyelerakan apabila dimakan ketika panas,” katanya.

Sementara itu, seorang pembekal ikan sungai Amran Awang Kecik, 55, berkata ikan baung dan patin yang dibekalkan kepada peniaga ditangkap menggunakan bubu.

"Setiap hari saya akan ke sungai berdekatan atau takungan air untuk melihat bubu yang dipasang yang kebiasaannya hasil tangkapan berjaya diperolehi sebanyak lima hingga 15kg sehari," katanya. - Bernama