Impian 'juruterbang' musnah

Alvin ditahan polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Tangerang.- Kompas
Alvin ditahan polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Tangerang.- Kompas
A
A
A

TANGERANG - INDONESIA. Polis menahan seorang lelaki menyamar sebagai juruterbang syarikat penerbangan Garuda Indonesia di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Tangerang, Jumaat lalu.

Menurut Jakarta Post, Alvin Adithya Darmawan yang lengkap dengan pakaian seragam juruterbang Garuda daftar masuk kaunter syarikat penerbangan itu pada jam 11.40 pagi pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Soekarno-Hatta, Victor Togi Tambunan berkata, lelaki itu turut didapati membawa kad pengenalan anak kapal Garuda.

"Alvin dilihat berlegar-legar di sekitar terminal sebelum menuju ke bahagian pemeriksaan keselamatan dan penyamarannya terbongkar apabila dia bertembung dengan juruterbang Garuda, Kapten Andre yang curiga terhadapnya.

“Kapten Andre berbual dengan lelaki itu dan dia memberi jawapan yang kurang jelas. Juruterbang itu kemudian melaporkan lelaki berkenaan kepada pegawai keselamatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Siasatan Jenayah Soekarno-Hatta, James Hasudungan Hutajulu berkata, siasatan mendapati Alvin adalah penumpang penerbangan Garuda ke Semarang.

Ketika disiasat, Alvin memberitahu polis dia obses mahu menjadi juruterbang, namun gagal dalam permohonan jurusan itu selepas tamat sekolah menengah.

Alvin boleh berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 263 Kanun Keseksaan atas kesalahan memalsukan dokumen yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam tahun.

Artikel Berkaitan: