'Abang polis' selamatkan gadis terima surat penghargaan

A
A
A

SHAH ALAM - Ketangkasan dua anggota polis memujuk seorang gadis yang bersendirian di atas bumbung sebuah kompleks beli belah di sini, Ahad lalu menerima penghargaan dalam perhimpunan bulanan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK), pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, ketika kejadian kedua-dua anggota berkenaan sedang menjalankan tugasan rondaan.

"Koperal Mohd Saiful Khaliff Abd Razak dan Konstabel Mohd Farhan Azran Zaharin terus menuju ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima makluman berkaitan kejadian.

"Semasa dalam tindakan awal untuk memujuk, gadis ini cuba untuk memanjat tebing bangunan berkenaan, namun kedua-dua anggota mengambil tindakan pantas dengan menarik gadis berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, gadis itu dipercayai mempunyai masalah keluarga dan menjalani rawatan psikiatri di sebuah hospital.

"Tindakan proaktif kedua-dua anggota itu dihargai apabila dianugerahkan sijil penghargaan oleh Ketua Polis Selangor bagi menghargai kecemerlangan, kecekapan dan kemahiran dalam melaksanakan tugasan," katanya.

Ahad lalu, pihak polis mengambil masa 15 minit untuk memujuk seorang gadis yang bersendirian di bumbung sebuah kompleks beli belah di sini.

Kejadian disedari orang awam kira-kira jam 2.15 petang itu mendapati gadis berkenaan bersendirian di tebing atas bangunan tersebut.