Ops Asap: JKNS keluar 752 notis dengan tawaran kompaun RM192,850

A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengeluarkan sebanyak 752 notis dengan tawaran kompaun bernilai RM192,850 kepada individu dan pemilik premis gagal mematuhi larangan merokok di tempat awam di negeri berkenaan.

Notis dan tawaran kompaun ini dikeluarkan menerusi Operasi Mega Penguatkuasaan Ops Asap, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia dilaksanakan di seluruh Selangor pada Selasa.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Datuk Sha'ari Ngadiman berkata, operasi melibatkan seramai 260 Pegawai Diberi Kuasa terdiri daripada Pegawai dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran.

"Sebanyak 752 notis kesalahan dikeluarkan dengan tawaran kompaun bernilai RM192,850 dan hasil pecahan notis kesalahan antaranya adalah Peraturan 11(1)(d) iaitu merokok di premis makanan dengan jumlah 326 notis kesalahan (43.4 peratus).

"Peraturan 11 (1)(n) iaitu merokok di kawasan kompleks beli-belah dengan 230 notis kesalahan (30.5 peratus) dan Peraturan 11(1)(g) iaitu merokok di dalam kawasan lapangan terbang dengan 38 notis kesalahan (5.1 peratus).

"Ini termasuk, lain-lain kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau dengan 26 notis kesalahan (3.5 peratus) dan setiap kesalahan kompaun bernilai antara RM250 sehingga RM500," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, sekiranya kompaun tidak dijelaskan dalam tempoh ditetapkan, tindakan pendakwaan akan diambil dan didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun jika sabit kesalahan.

Beliau turut berharap dengan pelaksanaan operasi sedemikian dapat merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan negara bebas asap rokok menjelang tahun 2045 malah operasi sama akan diteruskan dari semasa ke semasa.

Sehingga April lalu, JKNS juga telah mengeluarkan sebanyak 3600 notis kesalahan melibatkan pelbagai kesalahan dan dari jumlah tersebut, sebanyak 3,187 (88.5 peratus) notis dikeluarkan kepada mereka yang merokok di kawasan larangan merokok.