Lewandowski sesuai sertai Liverpool

Lewandowski - Foto goal.com
Lewandowski - Foto goal.com
A
A
A

PENGURUS skuad kebangsaan Poland, Czeslaw Michniewicz menyifatkan bekas penyerang sensasi Bayern Munich, Robert Lewandowski menyertai Liverpool dalam usaha meneruskan kariernya dalam bola sepak.

Menurut Michniewicz, Lewandowski, 33, dilihat sebagai calon yang bersesuaian untuk beraksi di Anfield dan seterusnya membantu The Reds untuk melakar lebih banyak kejayaan kelak.

“Saya mahu menyaksikan Lewandowski beraksi bersama Liverpool kerana saya sendiri merupakan penyokong kelab berkenaan.

“Oleh itu, saya merasakan skuad The Reds itu mungkin perlu menambahkan lagi sengat di bahagian serangan mereka dengan membawa masuk pemain penyerang seperti Lewandowski.

“Malah, saya rasa dengan kehadiran Lewandowski, jentera serangan The Reds bakal menjadi lebih mantap,” katanya.

Untuk rekod, Lewandowski baru-baru ini menyatakan hasrat untuk meninggalkan Allianz Arena setelah lapan tahun beraksi bersama Bayern Munich.

Malah, Lewandowski yang menyertai Bayern pada musim 2014 daripada Borussia Dortmund juga telah meraih hampir kesemua piala yang dipertandingkan termasuk anugerah kasut emas Eropah, Ballon d’Or musim lalu.

Mengulas lanjut, Michniewicz berkata, peluang untuk Lewandowski beraksi di Anfield mungkin terbuka susulan khabar angin yang mengatakan penyerang, Sadio Mane bakal menyertai Bayern Munich musim panas ini.

“Berita seperti ini semakin menguatkan andaian saya bahawa Lewandowski perlu menyertai Liverpool kerana dengan rekod jaringannya yang agak baik, saya dapat rasakan dia boleh membantu Liverpool.

"Lagi pun, dia pernah beraksi di bawah kendalian Jurgen Klopp di Dortmund sebelum ini,” katanya.