Saham Sapura Energy turun selepas diklasifikasi penerbit tersenarai PN17

Saham Sapura Energy Bhd susut ketika awal dagangan pada Rabu selepas mengumumkan ia telah diklasifikasikan sebagai penerbit tersenarai PN17.
Saham Sapura Energy Bhd susut ketika awal dagangan pada Rabu selepas mengumumkan ia telah diklasifikasikan sebagai penerbit tersenarai PN17.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Saham Sapura Energy Bhd susut ketika awal dagangan pada Rabu selepas mengumumkan ia telah diklasifikasikan sebagai penerbit tersenarai PN17, berikutan kebimbangan berterusan mengenai kedudukan ekuiti pemegang sahamnya kurang daripada 50 peratus daripada modal sahamnya.

Pada 10.25 pagi, saham syarikat perkhidmatan minyak dan gas itu turun 1.0 sen kepada 7.5 sen dengan 91.72 juta saham bertukar tangan.

Menerusi kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Selasa, Sapura Energy menjelaskan, pihaknya sedang merangka pelan penyusunan semula untuk menangani status PN17 seiring dengan cadangan skim pengaturan dan akan membuat pengumuman bulanan mengenai kemajuan tersebut.

Ia menambah, langkah-langkah yang sewajarnya untuk menangani status PN17 itu sedang dilaksanakan.

Sapura Energy menjadi penerbit tersenarai terjejas di bawah PN17 berdasarkan kedudukan ekuiti pemegang sahamnya berjumlah RM85 juta sehingga 31 Jan, 2022 iaitu kurang daripada 50 peratus daripada modal sahamnya sebanyak RM10.9 bilion.

Public Investment Bank Bhd, dalam satu nota penyelidikan menjelaskan, walaupun mencabar namun situasi yang dihadapi syarikat itu masih belum sepenuhnya buruk dengan mempertimbangkan aset yang masih dimiliki oleh Sapura Energy dalaM persekitaran industri yang positif pada masa ini.

"Pemulihan kewangan (pengurangan modal) adalah penyelesaian yang boleh dijangkakan dengan pasti, namun pengurusan juga perlu berhati-hati dalam menentukan laluan ke hadapan, tanpa rasa takut atau memihak,” menurut bank pelaburan itu. - Bernama